TAPAK Warisan Dunia merupakan sebuah pengiktirafan yang diberikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) kepada lokasi-lokasi yang mempunyai nilai sejagat yang luar biasa. Ia merangkumi warisan budaya, semula jadi atau gabungan kedua-duanya yang dianggap penting untuk dilindungi dan dipelihara bagi generasi akan datang.
Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran global terhadap kepentingan pemuliharaan, malah turut memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi melalui pelancongan berteraskan warisan.
Idea untuk mewujudkan sebuah gerakan antarabangsa untuk melindungi warisan dunia muncul selepas Perang Dunia Kedua. Pelbagai tapak warisan budaya yang rosak atau musnah yang kemudiannya mendorong keperluan mendesak untuk melindungi tinggalan sejarah dan budaya dunia. Peristiwa yang membangkitkan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap pemeliharaan warisan dunia meningkat apabila keputusan untuk membina Empangan Aswan di Mesir bakal menyebabkan kawasan Lembah Nubia yang menempatkan Kuil Abu Simbel, salah satu khazanah terpenting Tamadun Mesir Purba ditenggelami air.
Keprihatinan masyarakat antarabangsa terhadap kemungkinan kehilangan warisan ini mendorong UNESCO melancarkan kempen perlindungan antarabangsa besar-besaran untuk memindahkan dan menyelamatkan Kuil Abu Simbel dan beberapa monumen bersejarah yang lain.
Sebanyak 50 buah negara termasuk Malaysia menjadi penyumbang kepada pelaksanaan kempen ini. Kempen berkenaan menelan belanja sebanyak AS$80 juta (kira-kira RM338 juta), separuh daripadanya disumbangkan oleh kira-kira 50 buah negara dunia. Hal ini menunjukkan kepentingan perpaduan dan tanggungjawab negara dunia dalam memelihara tapak warisan dunia.
Konvensyen Warisan Dunia atau dikenali sebagai Konvensyen mengenai Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972 merupakan sebuah instrumen global yang penting untuk perlindungan warisan budaya dan semula jadi di seluruh dunia.
Malaysia secara keseluruhannya berjaya menyenaraikan enam Tapak Warisan Dunia UNESCO. Antaranya ialah Taman Kinabalu (2000), Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012), Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024) danInstitut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) (FRIM (2025).
Sehingga kini, Malaysia mengenalpasti dan mencalonkan beberapa tapak untuk dipertimbangkan menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa akan datang. Antara tapak yang tersenarai ialah Taman Negara Malaysia, Permatang Kuarza Gombak Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Leprosarium Sungai Buloh. Pencalonan ini memperlihatkan kesungguhan Malaysia dalam terus mengetengahkan warisan semula jadi dan budaya yang bernilai tinggi kepada perhatian dunia.
Usaha memelihara warisan alam dan budaya ini bukan sahaja menjamin kesinambungan ekosistem dan sejarah, malah membuka laluan untuk pelancongan yang berpanjangan.
Dengan komitmen berterusan, lebih banyak tapak warisan di Malaysia boleh diangkat ke pentas dunia sekali gus mengukuh imej negara sebagai destinasi warisan kelas pertama.-UTUSAN
MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM)








