Alam Sekitar merupakan aset penting untuk kelastarian kehidupan semua makhluk di muka bumi ini.
Sebagai seorang mukmin, kita tidak terkecuali dari tanggungjawab ini. Ingatlah, alam sekitar ini juga adalah ciptaan Allah SWT dan setiap ciptaannya pasti ada sebab dan fungsinya.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar sebagaimana diamanahkan.
Al-Quran dan sunnah memberikan penekanan serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai kurniaan atau nikmat Allah yang agung.
Ia sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar disamping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam ini dengan sebaiknya untuk kebaikan bersama disamping memeliharanya. Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung mulia disisi agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung disisi Allah.
Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ia mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.
Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan semua makhluk akan terancam. Ingat, jangan buang sampah dalam laut, sungai atau longkang.
Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai antara teras konsep Islam Hadhari.
Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, memperlihatkan sifat Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.
Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk yang lain. Ia kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah SWT diatasnya.
Justeru itu, setiap umat manusia perlu ingat kehadiran kita sebagai khalifah Allah. Maka, tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang dikerjakannya.
Ingatlah, tanggungjawab kita untuk memelihara dan menjaga alam sekitar dan akan diazab seandainya mengingkari perintahnya.
“Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.” (Surah Al-Rum : 41)
Setiap perbuatan yang baik dan melaksanakan tanggungajawab itu pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana.
“Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung, atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedekah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)-UTUSAN
MOHD. EFENDI MAT DAUD
Kepala Batas, Pulau Pinang










