ISU sampah menjadi masalah berterusan yang semakin meruncing saban tahun. Lambakan sampah di kawasan perumahan, bandar raya, sungai dan laut jelas menunjukkan pengurusan sisa masih belum mencapai tahap memuaskan. Masalah ini tidak hanya memburukkan pemandangan, malah menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan imej negara di mata dunia.
Statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah sisa domestik setiap tahun dengan pertambahan populasi dan gaya hidup moden yang lebih cenderung menggunakan bahan pakai buang.
Langkah-langkah mengurangkan penggunaan plastik perlu diperhebat dengan pendekatan sistematik dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.
Sampah juga menyumbang bencana seperti banjir kilat. Pembuangan sampah ke dalam longkang dan sungai menyekat aliran air dan meningkatkan risiko banjir. Setiap kali berlaku banjir, kerugian bukan sahaja dari segi kewangan, malah melibatkan nyawa dan kesihatan penduduk.
Selain itu, banyak tapak pelupusan sudah melebihi kapasiti dan beroperasi melebihi jangka hayat. Bau busuk, pencemaran air bawah tanah dan pelepasan gas metana dari tapak pelupusan terbuka memberi kesan kepada komuniti sekitar.
Walaupun Malaysia memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif seperti Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan program kitar semula, namun pelaksanaannya masih belum menyeluruh.
Terdapat jurang besar antara dasar di atas kertas dengan pelaksanaan sebenar di lapangan. Misalnya, kemudahan tong kitar semula tidak mencukupi, tiada pemantauan yang berkesan serta kekurangan insentif menyebabkan rakyat kurang bermotivasi untuk mempraktikkan amalan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula.
Melalui pendidikan berterusan, generasi akan datang dapat dibentuk menjadi warga yang bertanggungjawab dan peka terhadap alam sekitar. Di samping itu, peranan media massa dan media sosial juga perlu dimaksimumkan dalam menyebarkan mesej kesedaran dengan pendekatan yang kreatif dan menyentuh hati.
Denda dan hukuman terhadap individu atau syarikat yang membuang sampah sesuka hati perlu dikenakan secara konsisten. Tindakan undang-undang yang berkesan mampu menjadi pengajaran dan memberi mesej kesalahan terhadap alam sekitar bukanlah perkara remeh.
Penggunaan teknologi pintar seperti sistem pengesanan lokasi pembuangan sampah haram atau pengumpulan data sisa secara digital juga boleh membantu pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan lebih efektif. Teknologi sepatutnya dimanfaatkan untuk menguruskan isu kebersihan secara lebih strategik dan sistematik.-UTUSAN
CIKGU CHE RAHMAH AHMAD
Batu Pahat











