Tragedi pelajar UPSI jadi titik ubah keselamatan jalan raya

Tragedi pelajar UPSI jadi titik ubah keselamatan jalan raya

TRAGEDI menyayat hati membabitkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu menjadi ‘amaran’ kepada kerajaan untuk mengambil pendekatan lebih proaktif seperti yang dilakukan di negara-negara maju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI menyayat hati membabitkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu merupakan contoh nyata betapa kerajaan masih gagal menangani isu keselamatan jalan raya secara menyeluruh dan berkesan.

Kemalangan ini mencerminkan banyak kegagalan struktur dalam sistem pengangkutan dan keselamatan jalan raya. Pertama, jalan yang digunakan adalah laluan berbukit, gelap dan berselekoh tajam namun, tidak dilengkapi sistem pencahayaan atau ciri-ciri keselamatan seperti penghadang jalan dan tanda amaran mencukupi. Persoalannya, mengapa laluan berisiko tinggi seperti ini masih tidak dipertingkatkan dari segi infrastrukturnya?

Kedua, keadaan kenderaan yang digunakan juga perlu dipersoalkan. Adakah bas yang membawa pelajar ini melalui pemeriksaan menyeluruh sebelum perjalanan? Siapakah pemandunya dan apakah latar belakangnya? Adakah dia mempunyai rekod kesalahan trafik? Pemeriksaan terhadap bas ekspres dan persiaran sering dilakukan secara sambil lewa atau hanya selepas kemalangan berlaku. Malaysia masih belum mempunyai sistem pengesanan dan pemantauan proaktif yang memantau prestasi pemandu dan keadaan kenderaan secara masa nyata.

Kemalangan jalan raya bukan semata-mata berpunca daripada kecuaian pemandu tetapi turut melibatkan kelemahan institusi. Daripada kelulusan lesen memandu yang mudah diperoleh tanpa integriti, hingga ke tahap kelemahan dan tidak konsisten penguatkuasaan undang-undang, semuanya menyumbang ketidakseimbangan sistem. Malah, unsur rasuah juga menjadi antara punca utama mengapa kenderaan yang tidak layak masih dibenarkan beroperasi dan pemandu berisiko masih diberikan lesen memandu.

Kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan lebih proaktif seperti yang dilakukan di negara-negara maju. Di Jepun, Singapura, dan Sweden, keselamatan jalan raya diberi keutamaan tertinggi. Setiap kenderaan komersial mesti menjalani pemeriksaan teknikal berkala dan pemandu wajib menjalani ujian kesihatan serta latihan keselamatan berterusan. Di Malaysia, perkara sebegini masih dianggap sebagai cadangan. Keadaan ini menjadikan nyawa penumpang seperti pelajar UPSI ibarat ‘dipertaruhkan’ setiap kali menaiki bas.

Pendidikan keselamatan jalan raya juga masih tidak dijadikan budaya. Pelajar dan ibu bapa tidak diberikan pendedahan secukupnya mengenai aspek keselamatan ketika merancang perjalanan jauh, termasuk pemilihan pengangkutan yang selamat. Universiti dan institusi pendidikan pula belum mewajibkan piawaian keselamatan untuk setiap program luar yang melibatkan pengangkutan pelajar. Sementara itu, agensi kerajaan pula hanya menunggu laporan tragedi baharu untuk bertindak.

Tragedi malang ini harus menjadi titik tolak kepada perubahan dasar secara menyeluruh. Sudah tiba masanya kerajaan mewajibkan audit keselamatan terhadap semua syarikat bas sewaan yang digunakan oleh institusi pendidikan. Rekod prestasi pemandu perlu disemak dengan teliti dan perjalanan pada waktu malam ke kawasan berisiko tinggi mesti dikawal ketat atau dihadkan. Undang-undang perlu digubal agar setiap agensi yang melibatkan pengangkutan pelajar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan mereka.

Selain itu, pelaburan besar-besaran perlu dilakukan terhadap sistem pemantauan masa nyata seperti sistem kamera jalan, sensor kelajuan dan papan tanda amaran elektronik di laluan berisiko tinggi. Sistem keselamatan pasif seperti tali pinggang keledar dalam bas juga perlu diwajibkan penggunaannya. Undang-undang yang sedia ada tidak memadai jika tidak dikuatkuasakan dengan tegas dan adil.

Sikap kerajaan yang reaktif dan tidak konsisten hanya memperlihatkan kelemahan kepimpinan dalam menangani krisis keselamatan rakyat. Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik alasan ‘takdir’ semata-mata. Ketika negara lain menuju ke arah matlamat sifar kematian jalan raya, Malaysia masih dihantui dengan siri kematian demi kematian yang seolah-olah tiada kesudahannya.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kumpulan Interflour

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×