KECERDASAN buatan (AI) semakin memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor, termasuk bidang pendidikan.
Antara manfaat ketara AI dalam pendidikan ialah kebolehannya membantu pelajar mendapatkan maklumat secara pantas dan mudah. Ketika pelajar berdepan kekangan dalam memahami sesuatu topik, aplikasi seperti ChatGPT boleh berperanan sebagai pembantu maya yang memberikan jawapan serta cadangan langkah demi langkah seakan bimbingan peribadi dalam talian.
Lebih menarik, AI mampu menyesuaikan kandungan pembelajaran mengikut tahap kefahaman, minat dan keperluan individu. Sebagai contoh, pelajar yang kurang fasih dalam bahasa Inggeris boleh meminta terjemahan automatik atau penjelasan dalam bahasa ibunda mereka. Ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih inklusif, malah memperkasakan pelajar yang sebelum ini mungkin ketinggalan kerana kekangan bahasa atau akses maklumat.
Namun begitu, kemajuan teknologi ini turut hadir bersama cabaran yang tidak boleh dipandang ringan. Penggunaan AI secara berlebihan boleh menyebabkan pelajar menjadi terlalu bergantung kepada teknologi, sehingga menjejaskan keupayaan berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah secara kendiri.
Isu integriti akademik juga menjadi kebimbangan utama. Terdapat pelajar yang menyalahgunakan AI untuk menyiapkan tugasan, menjawab kuiz atau menulis esei tanpa usaha sendiri.
AI juga tidak bebas daripada kelemahan data. Sistem ini hanya mampu memberikan jawapan berdasarkan maklumat yang dilatih kepadanya. Jika data tersebut berat sebelah, tidak lengkap atau lapuk, maka jawapan yang diberikan juga mungkin tidak tepat. Ini boleh menyebabkan penyebaran maklumat palsu dan mengukuhkan stereotaip yang tidak sihat dalam kalangan pelajar.
Justeru, penting untuk membudayakan penggunaan AI secara bijaksana dan beretika.
AI perlu dilihat sebagai alat bantu pembelajaran, bukan pengganti usaha manusia.
Peranan guru tetap relevan sebagai pemantau, pembimbing dan pencetus pemikiran pelajar agar tidak bergantung sepenuhnya kepada mesin.
Kerjasama antara pendidik, pelajar dan pembuat dasar amat diperlukan bagi merangka garis panduan yang jelas serta menyokong pembangunan sistem pendidikan yang beretika, inklusif dan seimbang.
Hanya dengan pendekatan ini, potensi AI dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan generasi pelajar yang celik teknologi, bertanggungjawab dan mampu bersaing dalam dunia masa depan yang penuh cabaran. – UTUSAN
AHMAD FAID LUTFI SYAFRIZAL & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










