SAYA ingin merujuk insiden tragis yang berlaku baru-baru ini di Stesen LRT Pusat Bandar Puchong, di mana seorang individu terkorban setelah terjatuh ke landasan. Kejadian yang amat dikesali ini, serta insiden-insiden seumpamanya menunjukkan keperluan mendesak bagi penambahbaikan aspek keselamatan di sepanjang laluan tren Rapid KL.
Berdasarkan pemerhatian saya terhadap ciri-ciri keselamatan yang lengkap di stesen-stesen MRT, saya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan agar pihak Rapid Rail / Rapid KL untuk memasang pintu penghadang platform (platform screen doors) atau halangan keselamatan yang serupa di semua stesen LRT.
Halangan-halangan ini, seperti yang sedia ada di stesen MRT, berfungsi secara efektif untuk mengasingkan penumpang daripada landasan, sekali gus dapat mengurangkan risiko kejadian terjatuh secara tidak sengaja, perbuatan sengaja atau pencerobohan landasan.
Langkah-langkah pencegahan seharusnya sentiasa diberikan keutamaan. Pelaburan dalam pemasangan halangan keselamatan yang terbukti keberkesanannya ini bukan sahaja akan mencegah tragedi daripada berulang, malah akan meningkatkan keyakinan penumpang serta memberikan ketenangan fikiran kepada semua pengguna perkhidmatan.
Saya amat berharap agar pihak Rapid Rail dan pihak berkuasa yang berkaitan mengambil serius penambahbaikan yang penting ini. Keselamatan penumpang seharusnya sentiasa menjadi keutamaan tertinggi.-UTUSAN
HAZRAN ASYRAF HAKIMI
Bandar Sunway, Petaling Jaya










