PENGGUNAAN media sosial menunjukkan peningkatan mendadak sejajar dengan kemajuan teknologi digital dan peningkatan akses internet.
Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan lebih 90 peratus rakyat yang berumur 13 tahun ke atas memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Angka ini mencerminkan peningkatan signifikan dalam tempoh sedekad, didorong gaya hidup digital yang semakin dominan serta keperluan komunikasi secara maya pasca pandemik Covid-19.
Media sosial tidak lagi terhad kepada penggunaan peribadi, malah berkembang sebagai alat penting dalam sektor ekonomi dan pendidikan. Dalam bidang perniagaan, media sosial menjadi saluran pemasaran utama bagi usahawan kecil dan sederhana (PKS), dengan penggunaan video promosi, kandungan interaktif dan siaran langsung untuk mendekati pengguna secara terus.
Sektor pendidikan pula memanfaatkan media sosial sebagai platform sokongan pembelajaran.
Meskipun manfaat media sosial amat ketara, wujud juga cabaran yang perlu diberi perhatian. Antara yang paling membimbangkan ialah penularan maklumat palsu, penyebaran ucapan kebencian, serta jenayah siber seperti penipuan dalam talian.
Selain itu, isu privasi dan keselamatan data peribadi juga menimbulkan keprihatinan, terutama dalam kalangan pengguna yang tidak menyedari risiko berkongsi maklumat tanpa kawalan. Penggunaan internet tanpa had menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan mental.
Melangkah ke hadapan, penggunaan media sosial dijangka menjadi lebih interaktif dengan pengenalan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR).
Pada masa sama, kerajaan komited memperkukuh infrastruktur digital negara dengan memperluas liputan internet, terutamanya di kawasan luar bandar bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat.
Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, dan masyarakat sivil, Malaysia berpotensi untuk membina sebuah masyarakat digital yang seimbang, beretika dan inklusif pada masa hadapan.-UTUSAN
ASHFAQ SHAMIM SHAFFEI & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










