Kepimpinan Pak Lah akan terus dikenang

Kepimpinan Pak Lah akan terus dikenang

Abdullah Ahmad Badawi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘CEMERLANG, Gemilang, Terbilang’ sinonim dengan susuk tubuh bernama Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah. Beliau adalah negarawan yang meninggalkan kita ketika berusia 85 tahun.

Beliau yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 29 November 1939 menamatkan pengajian di universiti pada 1964 sebelum menyertai perkhidmatan awam dan diplomatik.

Beliau mengagumi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai tokoh bersejarah manakala Tun Abdul Razak sebagai suri teladan.

Kepimpinan Pak Lah berasaskan konsensus, akomodasi dan partisipatif, membolehkannya bekerjasama dengan pelbagai pihak yang mempunyai latar belakang berbeza.

Strategi pembangunan modal insan yang menumpukan kekuatan moral, integriti dan rohani menjadi prioriti dalam kepimpinannya.

Misi Nasional yang diperkenalkan Abdullah pelengkap kepada Wawasan 2020. Inisiatif tersebut dilakukan ketika pembentangan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) pada 31 Mac 2006. Pembangunan modal insan yang dihasratkan berkaitan dengan peningkatan tahap pendidikan, kemahiran, akhlak dan keyakinan.

Ketegasan dalam membanteras rasuah, telus dan berintegriti, bersesuaian dengan konsep modal insan yang diperkenalkan diterjemahkan melalui pengenalan Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004. Ini disusuli dengan penubuhan Akademi Badan Pencegah Rasuah.

Hak golongan wanita turut diperkasakan dengan memartabatkan dan mengetengahkan penglibatan kaum wanita dalam sektor awam di peringkat antarabangsa. Pak Lah memberikan keutamaan kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat luar bandar.

Masalah kemiskinan bandar dan kepentingan perpaduan nasional turut mendapat sentuhan beliau melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta Majlis Gerakan Negara ketika peristiwa 13 Mei 1969.

Gagasan idea, pemikiran dan pelaksanaan diperkenalkan melalui Islam Hadhari. Legasi ditinggalkan beliau sangat berharga dalam perencanaan pembinaan negara bangsa. Komitmen dan jasanya membangun nilai etika dan moral di dalam masyarakat tidak seharusnya dipandang enteng.

Seharusnya lebih banyak wacana diadakan bagi memugar kembali jasa dan pengorbanan tokoh tersebut dalam membangunkan negara. Beliau adalah sebahagian cerita negara yang akan dikenang dalam sejarah dan peradaban pembinaan bangsa Malaysia.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Universiti Utara Malaysia, (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×