PROFESION perguruan sentiasa dipandang mulia, disanjung dan disegani setiap lapisan masyarakat sejak zaman berzaman.
Pun begitu, walaupun guru masih dihormati hari ini namun sikap sebilangan guru yang tidak pandai menyerlahkan keterampilan sebagai seorang pendidik semakin menonjol.
Lihat sahaja bagaimana sikap guru apabila memahami pelajar di kantin, sebagaimana tular di media sosial. Tindakan guru itu diperhatikan oleh banyak pihak termasuk pekerja kantin, pekerja pembersihan dan sesiapa sahaja di kawasan itu.
Walau apa punca sekali pun tindakan guru-guru tersebut yang memaksa pelajar mengaku bersalah adalah tidak wajar.
Guru-guru ini yang menjerit dengan suara yang kuat, hanya mahu menunjuk lagak, kononnya merekalah yang paling garang dan digeruni.
Saya berharap Kementerian Pendidikan (KPM),Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga pentadbir sekolah mengambil tindakan paling tegas tanpa kompromi supaya kes seperti ini tidak akan berulang lagi.
Saya juga cadangkan PPD menganjurkan kursus kerohanian kepada guru setiap daerah. Kehadiran diwajibkan.Tujuan kursus ini untuk menyedarkan guru yang mereka adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, maka tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan tindakan yang boleh merosakkan reputasi seorang pendidik.
Guru perlu faham, ibu bapa era ini lebih cerdik dan bijak dari segi akademik berbanding anda. Mungkin mereka tinggal di kampung tetapi mempunyai kelulusan pendidikan yang bagus.
Kepada golongan guru yang masih berkhidmat, perlu kembalikan maruah guru yang semakin lama semakin tercalar. Ingatlah anda semua pun ada anak atau bakal menjadi ibu bapa suatu hari nanti.
Guru-guru yang amat berdedikasi dan penyayang teruskan khidmat anda sebaik mungkin sehingga sampai ke ‘garisan penamat’. Ketahuilah jasa baik anda akan sentiasa dikenang dan akan disebut-sebut oleh bekas anak murid anda semua. – UTUSAN
CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang










