YAYASAN Waqaf Malaysia (YWM) ingin menegaskan pihak kami menerima aduan mengenai kewujudan sindiket penipuan yang mempergunakan nama yayasan dan Tabung Musa’adah Jakim-YWM bagi tujuan kutipan sumbangan secara tidak sah.
Modus operandi penipuan ini dilakukan melalui HubSpot. Inc, di mana orang ramai dijemput menyertai kumpulan WhatsApp dan Telegram, kemudian diminta atau dipaksa membuat sumbangan dengan janji ganjaran wang tunai sebagai pulangan.
YWM menegaskan tidak pernah menjalin kerjasama, perjanjian atau pengiktirafan bersama pihak HubSpot.Inc untuk tujuan kutipan Tabung Musa’adah Jakim-YWM atau Tabung Sa’adah Jakim-YWM atau mana-mana tabung serta dana wakaf anjuran YWM.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan dan dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang tawaran, jemputan atau iklan sumbangan wakaf yang disebarkan melalui platform HubSpot.Inc, kumpulan WhatsApp dan Telegram, atau mana-mana saluran yang tidak sah. Untuk sebarang urusan sumbangan rasmi kepada YWM, orang ramai boleh berurusan melalui laman web rasmi ywm.gov.my dan media sosial rasmi YWM.
YWM memandang serius perkara ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama Yayasan Waqaf Malaysia dan nama-nama produk YWM untuk tujuan penipuan. Sebarang maklumat atau aduan berkaitan penipuan ini boleh disalurkan terus ke pihak YWM melalui saluran rasmi kami iaitu emel [email protected] dan Whatsapp YWM di talian 019-2007481.-UTUSAN
YAYASAN WAQAF MALAYSIA










