MENYELESAIKAN gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak cukup dengan penguatkuasaan undang-undang sahaja. Ia perlu digalakkan secara menyeluruh melalui pendidikan nilai, advokasi masyarakat dan komitmen bersama antara institusi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa agama.
Pendidikan di peringkat awal perlu memupuk kefahaman tentang fitrah lelaki dan wanita, tanggungjawab moral dan erti kebebasan sebenar yang tidak bercanggah dengan agama mahupun undang-undang. Program pencegahan sosial yang dilaksanakan juga perlu disuntik nilai, bukan sekadar maklumat ilmiah.
Masyarakat sivil, media dan tokoh berpengaruh juga mesti memainkan peranan dalam menyemai naratif positif tentang keluarga, maruah dan keseimbangan hidup, bukan meraikan kebebasan yang mengelirukan atau merosakkan akhlak remaja.
Membanteras budaya seksual yang menyimpang bukan bermakna menindas sesiapa. Ia bagi menyelamatkan masyarakat daripada kemusnahan nilai moral. Kita bukan sahaja mengatakan tidak kepada orientasi seksual yang tidak normal, tetapi juga mengatakan ya kepada pendidikan, sokongan dan pemulihan bagi mereka yang ingin kembali ke jalan yang betul. Hidayah dan ihsan tetap menjadi keutamaan dalam pendekatan agama.
Malaysia harus kekal sebagai negara yang memelihara warisan nilai-nilai murni, tanpa tunduk kepada tekanan ideologi asing.
Maqasid Syariah seharusnya menjadi kompas akhlak negara, bukan sahaja menjaga undang-undang tetapi juga menggalakkan kebijaksanaan, membina kemakmuran dan mengukuhkan perpaduan negara.
Isu LGBT mengancam nilai agama, kesihatan awam dan budaya Timur. Penganjuran program seperti Pride Care mencetus kebimbangan terhadap normalisasi budaya songsang.
Maqasid Syariah menawarkan penyelesaian menyeluruh dengan menjaga agama, akhlak dan kesejahteraan ummah. Semua pihak harus berganding bahu mempertahankan jati diri, maruah dan struktur sosial berasaskan fitrah dan nilai ketimuran.-UTUSAN
DR. AHMAD NASIR MOHD YUSOFF
Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










