Arafah: Hari doa, keampunan, kembali kepada Tuhan

Arafah: Hari doa, keampunan, kembali kepada Tuhan

HARI Arafah dikenal sebagai hari mustajab doa. Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri menghabiskan masa yang sangat lama untuk berdoa ketika berada di Arafah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI  Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah adalah salah satu hari paling agung dalam Islam. Ia menjadi kemuncak ibadah haji dan dalam masa sama, menjadi ruang terbuka bagi umat Islam seluruh dunia untuk kembali kepada Allah dengan sehina-hinanya pengharapan. Bagi jemaah haji, Arafah adalah tempat wukuf berhenti sepenuhnya dari semua aktiviti duniawi untuk menghadap Allah dengan sepenuh hati.

Tetapi bagi kita yang tidak menunaikan haji, Arafah tetap sebuah peluang luar biasa, satu hari dalam setahun yang dibuka pintu keampunan, doa yang mustajab dan peluang memperbaharui kehidupan kearah lebih baik.

Kelebihan Hari Arafah: Lebih Dari Sekadar Keampunan

  1. Doa yang paling afdal dan mustajab

Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah bermaksud “Tiada Tuhan selain Allah, satu-satunya Dia sahaja tiada sekutu bagi-Nya. Hanya milik-Nya segala Kerajaan, dan hanya milik-Nya jua segala puja, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”  (Riwayat al-Tirmizi)

Kalimah ini adalah inti tauhid dan syahadah yang murni. Dalam suasana Arafah, ia dilafazkan bukan hanya dengan lidah, tetapi dengan jiwa yang dibasahi penyesalan dan harapan. Ia adalah permulaan kepada semua doa, penguat kepada semua harapan.

  1. Hari raya bagi seluruh umat Islam

Walaupun hanya sebahagian umat Islam dapat hadir secara fizikal di Padang Arafah, kelebihan Hari Arafah tetap meliputi seluruh umat tidak kira mereka di Makkah, Malaysia atau mana-mana pelosok bumi. Ini kerana rahmat Ilahi pada hari tersebut tidak bersifat eksklusif, tetapi inklusif kepada seluruh alam.

Sayyidina Umar RA menyebut dua hari raya terbesar ialah hari Jumaat dan hari Arafah masing-masing datang dengan limpahan keampunan dan penghormatan syariat. Dalam tafsir al-Tabari dan riwayat Ibn Abbas, disebut bahawa gabungan hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat dianggap sebagai “hari raya berganda”, kerana menyatukan dua hari mulia.

Dalam hadis daripada Uqbah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda: Hari Arafah, Hari Korban dan hari-hari Tasyrik adalah hari raya kita umat Islam; hari makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, an-Nasa’i)

 

  1. Ganjaran Puasa Arafah

Puasa sunat pada hari ini diganjari dengan penghapusan dosa selama dua tahun:

“Puasa pada hari Arafah, aku berharap agar Allah menghapuskan dosa tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.” (Riwayat Muslim, no. 1162)

Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah, satu hari puasa, dua tahun pengampunan.

 

JANGAN BIARKAN HARI ARAFAH BERLALU TANPA DOA

Hari Arafah bukan hanya soal ganjaran. Ia adalah medan tarbiah. Dalam dunia yang penuh hiruk-pikuk dan kerosakan jiwa, Arafah menjadi ruang diam untuk bercakap dengan Tuhan. 

Falsafah Arafah membawa mesej keampunan Allah tidak memerlukan tiket VIP atau pangkat dunia, tetapi hadir kepada sesiapa sahaja yang mengangkat tangan dengan ikhlas. Ia adalah puncak tazkiyah al-nafs penyucian jiwa dari dosa, keangkuhan, kelalaian dan cinta dunia.

Hari Arafah adalah hari yang tidak patut kita biarkan berlalu begitu sahaja. Ambillah masa, walau sekejap, untuk menutup telefon, menjauhi hiruk-pikuk dunia, dan berdoalah dengan hati yang tulus.

“Ya Allah, jadikanlah hari Arafah ini sebagai permulaan baru dalam hidupku. Ampunkan dosaku, kuatkan imanku, dan tetapkan hatiku dalam jalan-Mu hingga akhir hayat.”-UTUSAN

 

DR. LILY HANEFAREZAN ASBULAH

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam,

Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN