APABILA musim haji, akan timbul pengiklanan pakej badal haji yang pelbagai sama ada melibatkan orang perseorangan atau syarikat.
Banyak pihak tampil mengambil kesempatan dengan menawarkan pakej mampu bayar dari harga serendah RM1,500, sedangkan kos mengerjakan haji muassasah yang dikelolakan Tabung Haji adalah RM33,000 sebelum disubsidikan mengikut kategori B40 dan M40 di samping pakej haji syarikat swasta diuruskan Pengelola Jemaah Haji (PJH) bermula sekitar RM55,000.
Bahkan pakej haji bagi mereka yang berada di Arab Saudi bermula dari 8,000.00 Riyal Saudi (lebih kurang RM9,200) dan mereka juga tertakluk dengan sistem penggiliran untuk mendapatkan permit haji. Jumlah itu belum termasuk lagi kos bagi makan minum, penginapan dan upah pelaksana badal haji.
Sekiranya ditelusuri dalam pakej badal haji yang ditawarkan, ada beberapa perkara yang menimbulkan kecurigaan, di antaranya:
– Pakej murah. Ini tidak bermakna pakej yang mahal akan bebas daripada unsur penipuan. Pakej yang ditawarkan tidak selari dengan kos sebenar, khususnya melibatkan bayaran permit (tasrih) haji. Ditambah lagi dengan kos cenderahati kepada pelanggan dengan pemberian air zam-zam, sejadah, sijil, kurma ajwa, minyak wangi dan lain-lain.
– Orang yang melaksanakan badal haji tidak jelas. Bagi setiap musim haji, hanya seorang sahaja jemaah haji yang boleh buat badal haji kepada pelanggan. Kebimbangan timbul apabila wujud sindiket yang menggunakan tenaga kerja asing di Arab Saudi berulang kali bagi nama berbeza. Mereka hanya mengambil gambar berada di kawasan Padang Arafah dengan menukar ganti plakad nama jemaah haji yang dibadalkan.
– Tiada bukti yang kukuh pelaksanaan rukun dan wajib haji. Gambar atau video yang diambil tidak menunjukkan keseluruhan ibadat haji yang dilakukan. Ia juga sukar dibuktikan melainkan mereka yang benar-benar amanah dalam mengerjakan badal haji.
– Modus operandi menggunakan selebriti agama, agamawan bagi menimbulkan kepercayaan pelanggan.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan pakej badal haji dipilih selamat dan telus, para pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang pakej yang ditawarkan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. ANUAR
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya










