TINDAKAN tegas harus diambil terhadap pihak majikan yang didapati gagal laksana Perintah Gaji Minimum.
Bermula 1 Februari lalu, kadar gaji minimum pekerja dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700.
Perintah baharu ini ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih atau menjalankan aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan.
Kerajaan memutuskan penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan. Ia akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025 bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat.
Keputusan untuk menaikkan kadar gaji minimum ini dapat memastikan setiap pekerja dalam negara dapat menikmati kehidupan selesa serta dapat menampung peningkatan kos sara hidup dan suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Namun, pihak kerajaan perlu melakukan proses pemantauan yang ketat terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum baharu. Ini amat penting bagi memastikan tiada majikan yang ingkar dan tiada pekerja dinafikan hak untuk menerima gaji minimum selaras dengan pengumuman kerajaan melalui proses pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu.
Terdapat pelbagai isu melibatkan pelaksanaan gaji minimum dalam negara kita sebelum ini, di mana ada sesetengah pekerja mengadu majikan masih belum sudi untuk melaksanakannya. Selain itu, ada juga aduan daripada pekerja berhubung tindakan sesetengah pihak majikan yang memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu.
Perlu diingatkan, pada sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, pihak Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa pihak kerajaan agar lebih agresif dalam menangani isu majikan yang culas untuk menggajikan pekerja mengikut pelaksanaan gaji minimum.
Semua isu berbangkit ini perlu dipandang serius dan disiasat dengan segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai khususnya pekerja yang sedang menghadapi masalah kewangan akibat daripada kenaikan kos sara hidup pada ketika ini.
Pihak kerajaan harus memastikan setiap majikan menghormati dan melaksanakan gaji minimum yang baharu ini.
Oleh itu, pihak majikan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum. Jika tidak, tindakan keras mengikut peruntukan undang–undang sedia ada boleh dikenakan kepada mereka.
Mana–mana pekerja yang merasakan teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya selaras dengan pelaksanaan kadar gaji minimum ini perlu dapatkan bantuan daripada pihak berkaitan dan membuat aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan segera.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










