MENJELANG sambutan Aidiladha, MyCARE, Yayasan Ikram Malaysia dan Hidayah Centre Foundation membuka peluang pada orang ramai untuk menyertai program ibadah korban 2025/1446H yang akan dimanfaatkan oleh ribuan insan yang memerlukan di serata dunia.
Pelaksanaan korban dan akikah ini memberi tumpuan agihan kepada rakyat yang terkesan akibat peperangan dan bencana alam di sembilan buah negara antaranya Palestin, Syria, Somalia, Yaman dan India.
Dengan bayaran serendah RM200, rakyat Malaysia dapat menyumbang kepada kelangsungan hidup pelarian, ibu tunggal, anak yatim dan komuniti miskin.
Di samping itu, turut disyorkan untuk sertai Pakej Sedekah Daging Gaza sebanyak RM50 sebagai tanda keprihatinan kepada saudara-saudara kita di sana. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Jun dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi projek di myqurbani.my.
Yayasan Ikram Malaysia membantu golongan kurang berkemampuan di dalam negara melalui program iQurban 2025, dengan pengagihan daging di kawasan pedalaman dan bandar-bandar utama seperti Sabah, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.
Daging korban akan diagihkan kepada golongan asnaf, fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan individu berkeperluan khas.
Hidayah Centre Foundation juga memperkenalkan program khas bertajuk Qurban for Mualaf 2025, satu inisiatif bermakna bagi menyantuni saudara baharu Islam di seluruh negara. Tempoh pendaftaran dan pembayaran dibuka sehingga 4 Jun 2025.
Ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi lambang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan kepada Allah. Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 37 menegaskan daging dan darah binatang tidak sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan kitalah yang dinilai-Nya.
Justeru, menyertai program-program ini bukan sahaja melaksanakan perintah agama, malah membuka pintu rezeki dan kebahagiaan kepada mereka yang sangat memerlukan.-UTUSAN
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
Kuala Lumpur










