KONSEP Kerajaan Madani yang diperkenalkan dalam landskap politik negara membawa harapan baharu kepada rakyat untuk melihat pemerintahan yang adil, beretika dan berjiwa rakyat. Ia bukan hanya gagasan politik semata-mata tetapi turut membawa makna mendalam apabila dikaitkan dengan nilai-nilai Islam dan semangat Perlembagaan negara.
Namun, cabaran utama yang perlu dihadapi adalah memastikan konsep ini benar-benar selaras dengan kehendak Islam, memelihara hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan dalam masa sama tidak menggugat perpaduan kaum.
Konsep madani yang cuba diketengahkan bukan sahaja dalam semangat tetapi juga dalam pelaksanaan dasar dan sistem pentadbiran negara. Nilai seperti keadilan, musyawarah dan kebajikan awam perlu dijadikan teras kepada segala dasar mahupun keputusan kerajaan.
Perlembagaan pula dengan jelas mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan serta menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera melalui Perkara 153. Dalam masa sama, Perlembagaan juga menjamin hak semua kaum dari segi pendidikan, agama, bahasa dan kebebasan asasi. Oleh itu, pelaksanaan pemerintahan madani tidak boleh melangkaui sempadan ini, sebaliknya perlu menjadi jambatan yang menghubungkan keperluan Melayu-bumiputera dan hak kaum lain dalam kerangka keadilan sosial yang seimbang.
Perlu difahami keistimewaan Melayu bukanlah bentuk diskriminasi tetapi tindakan afirmatif yang dibenarkan Perlembagaan bagi mengimbangi ketidaksamaan sejarah dan ekonomi.
Untuk menjayakan konsep madani tanpa menimbulkan rasa terpinggir dalam kalangan kaum lain, pendekatan yang lebih telus, inklusif dan berasaskan data perlu diperkenalkan. Misalnya, pelaporan suku tahunan mengenai pencapaian program berkaitan hak Melayu dan bumiputera, seperti biasiswa dan pengambilan dalam sektor awam, boleh dibuka kepada umum. Ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan awam terhadap dasar afirmatif tetapi juga membuktikan keistimewaan tersebut dilaksanakan secara adil, telus dan berfokus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Di samping itu, pendekatan pembangunan wilayah juga perlu dilihat dari sudut strategi madani. Kawasan luar bandar yang majoritinya dihuni oleh Melayu dan bumiputera masih berdepan dengan jurang ekonomi dan pendidikan.
Projek pembangunan seperti Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program inkubator usahawan perlu disasarkan secara aktif ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felcra Berhad (Felcra) dan kawasan luar bandar. Ini bukan sahaja memenuhi tuntutan Perkara 153, tetapi juga memastikan golongan Melayu-bumiputera diberi peluang sebenar untuk bersaing dan maju.
Bagi menjamin perpaduan kaum, pendekatan komunikasi yang lebih strategik dan berteraskan nilai rahmah perlu dijalankan. Naratif hak keistimewaan Melayu adalah sebahagian daripada tanggungjawab negara untuk mengangkat kaum majoriti yang tertinggal perlu dijelaskan secara terbuka. Dalam masa sama, dialog antara kaum dan agama juga perlu digiatkan melalui platform seperti program komuniti bersama masjid, gereja, kuil dan gurdwara supaya persefahaman dapat dipupuk sejak peringkat akar umbi.
Dari sudut institusi pula, Malaysia boleh mencontohi sistem pemerintahan Rasulullah SAW dengan memperkukuh institusi syura atau musyawarah dalam bentuk yang moden.
Penubuhan Majlis Syura Rakyat yang melibatkan wakil pelbagai kaum, agama, negeri dan sektor boleh menjadi platform untuk menilai dan memberi maklum balas terhadap dasar-dasar utama negara sebelum ia dibentang ke Parlimen.
Di samping itu, modul induksi kepada penjawat awam boleh diperkasakan dengan latihan literasi perlembagaan dan nilai kenegaraan Islam seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam










