Pekerja kesuma bangsa, pemacu bakat unggul negara

Pekerja kesuma bangsa, pemacu bakat unggul negara

PERANAN warga kerja universiti menuntut anjakan dari segi kompetensi dan kemahiran agar selari dengan keperluan semasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun pada 1 Mei, kita memperingati Hari Pekerja sebagai penghargaan kepada semua pekerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara. Tema Hari Buruh tahun ini, Pekerja Kesuma Bangsa, membawa makna besar kepada seluruh warga kerja negara, khususnya mereka yang berada di universiti, sama ada kakitangan akademik, pentadbiran, teknikal mahupun sokongan. Semuanya memainkan peranan besar dalam membentuk masa hadapan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan khidmat komuniti.

Universiti bukan sahaja tempat untuk melahirkan graduan berilmu, malah ia adalah institusi yang menggerakkan inovasi, membina tamadun dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi. Semua ini tidak akan tercapai tanpa dedikasi dan usaha keras warga kerja universiti yang setiap hari menjalankan tugas dengan penuh komitmen.

Ketika berucap di Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2025. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, menekankan peranan penting kakitangan universiti dalam melahirkan bakat terbaik negara dengan memastikan setiap warganya memainkan peranan aktif dalam membimbing dan membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berdaya saing serta beretika tinggi.

Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks, peranan warga kerja universiti bukan sahaja memerlukan komitmen dan semangat kerja berpasukan, tetapi juga menuntut anjakan dari segi kompetensi dan kemahiran agar selari dengan keperluan semasa.

Warga kerja terutama Hal Ehwal Pelajar adalah antara individu utama yang memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melahirkan bakat terbaik negara yang berdaya saing dan seimbang dari aspek akademik serta insaniah.
Namun, bagi memastikan aspirasi ini dapat direalisasikan secara nyata, kakitangan Hal Ehwal Pelajar perlu bersedia untuk berubah, dari sekadar pelaksana program kepada fasilitator pembangunan bakat.

Sebagai anggota institusi ilmu ini, pembangunan bakat mahasiswa yang digariskan dalam Pelan Strategik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (2023-2027) merupakan tunjang kepada matlamat untuk institusi ini muncul sebagai universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global.

Sambutan Hari Buruh ini seharusnya menjadi detik refleksi untuk menilai sejauh mana kita sebagai pekerja, sebagai kesuma bangsa, bersedia untuk berkembang seiring dengan perubahan.

Dalam mendepani era digitalisasi industri dan cabaran pasca-pandemik, tiada ruang untuk selesa dan terus berpuas hati. Kakitangan Hal Ehwal Pelajar bukan hanya penjaga kebajikan, tetapi pemangkin perubahan, pembentuk karakter dan seterusnya artisan penghasilan bakat terbaik negara.-UTUSAN

FADLI MAMAT
Ketua Pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terenggnu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN