MENARIK untuk saya mengulas tulisan Wan Quoris Shah bertajuk Orang Melayu perlu berhenti bernostalgia yang diterbitkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 17 Mei lalu.
Dalam artikel itu, penulis mengatakan sudah tiba masanya orang Melayu berhenti bernostalgia. Cukuplah mendabik dada dengan sejarah silam, nama besar, keturunan dan pangkat yang tidak lagi relevan dalam dunia moden hari ini.
Penulis juga menyatakan dengan perubahan zaman, dunia bergerak pantas ke hadapan, namun masih ramai terperangkap dalam mimpi masa lalu, berulang kali mengulang naratif kegemilangan empayar dan ketuanan, sedangkan cabaran sebenar hari ini datang dalam bentuk yang jauh lebih mencabar seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), ketidaktentuan geopolitik, inflasi, krisis iklim serta ketidakstabilan ekonomi.
Bahkan, dalam artikel itu juga penulis meluahkan rasa sedih apabila naratif penyatuan Melayu yang suatu ketika dahulu lahir dalam bentuk tentangan terhadap Malayan Union atas dasar prinsip dan kedaulatan bertukar menjadi perpecahan yang memalukan.
Katanya, parti demi parti ditubuhkan kononnya atas nama perjuangan Melayu, tetapi hakikatnya hanyalah menambah luka perpecahan dan menjadikan Melayu sebagai bangsa yang hilang arah dalam tanah air sendiri.
Ya,benar sangat telahannya. Pemikiran orang Melayu perlu berubah seratus peratus, lebih-lebih lagi pemimpin pertubuhan terutama politik.
Golongan ini perlu buang semua sikap mementingkan diri dan menguasai parti untuk kepentingan peribadi. Sementara penyokong juga harus turut berubah dan berfikiran matang, bukan menjadi ikutan kepada apa sahaja kehendak ketua yang kadang-kadang hanya untuk memperkukuhkan diri pemimpin itu sendiri.
Orang Melayu sudah ‘tiada masa’ untuk berpecah-belah seperti hari ini dengan penubuhan pelbagai parti politik. Bak kata pepatah seperti ‘enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Peribahasa ini bermaksud mencari kekuatan untuk kepentingan sendiri.
Orang Melayu mesti bersatu, ‘bercantum’, bermuafakat dan mengadakan pakatan yang tidak boleh dipecah-belah. Mereka perlu ada semangat dan azam yang kuat daripada semua peringkat umur untuk menjadikan Melayu sebagai bangsa yang boleh bangkit dari segi politik, ekonomi dan kekuatan agamanya.-UTUSAN
DZANMUO
Bakri, Muar










