LARANGAN paparan produk tembakau perlu dikaji lebih mendalam untuk memahami kesannya terhadap tingkah laku pengguna, paras pasaran gelap dan kesihatan awam. Kita tidak boleh menuding jari semata-mata kepada vape sebagai punca kematian seolah-olah ia akar semua masalah.
Sebaliknya, dasar kawalan tembakau yang holistik termasuk kajian impak larangan rasa, cukai tembakau dan sokongan untuk perokok beralih kepada alternatif kurang risiko perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan besar diambil.
Ia sepatutnya menjadi peringatan yang kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Bayangkan jika ia menimpa jiran terdekat atau ahli keluarga, adakah kita sudah bersedia? Sudahkah kita mengurangkan garam dan gula dalam pemakanan, menjejak langkah harian atau menjalani pemeriksaan kesihatan rutin? Atau kita tunggu sehingga khabar sedih lain menjadi tular, barulah mula berubah?
Kerajaan wajar memperkenalkan cukai khusus terhadap makanan tinggi gula dan garam, sejajar dasar global dalam membendung penyakit tidak berjangkit. Garis panduan kandungan nutrisi perlu diperketat, manakala pelabelan yang telus wajib dilaksanakan.
Di samping itu, kempen kesedaran kesihatan mental harus meliputi sekolah, tempat kerja dan komuniti memandangkan tekanan emosi juga memberi kesan langsung kepada kesihatan fizikal.
Namun dasar terbaik akan sia-sia tanpa sokongan individu. Marilah kita pupuk budaya memilih air kosong berbanding minuman manis, menggantikan snek bergaram tinggi dengan buah segar dan meluangkan sekurang-kurangnya 30 minit untuk aktiviti fizikal setiap hari.
Catat langkah, jaga pola makan dan jangan abaikan tanda-tanda awal penyakit. Hanya dengan tindakan kolektif, kita dapat mengurangkan tragedi berikutnya.
Semoga memori Allahyarham Abang Rock dan Allahyarham Mohd Zake menjadi pemangkin perubahan dan dorongan untuk kita semua memikul tanggungjawab menjaga kesihatan. Kesihatan adalah hak, tetapi lebih penting ia adalah tanggungjawab setiap individu.-UTUSAN
ZAINUL ABD. KASSIM
Bukit Damansara, Kuala Lumpur










