SAYA membaca sebuah artikel tulisan strategis dan pakar kecerdasan buatan (AI), Dr. KP Chiew, berkenaan perkembangan teknologi AI di Malaysia yang berlaku secara senyap namun berkesan. Saya bersetuju dengan pandangan beliau.
Bagi saya, salah satu contoh jelas ialah pengesanan nombor plat automatik (ANPR), mungkin kedengaran teknikal, tetapi ramai antara kita sebenarnya sudah menggunakannya di pusat beli-belah, kita tidak perlu lagi mengambil tiket. Kamera akan mengimbas nombor plat dan palang dibuka secara automatik.
Teknologi ini juga digunakan dalam kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia mengesan nombor plat dan memadankannya dengan data pemilik kenderaan, tanpa perlu memberhentikan kenderaan.
Saya difahamkan bahawa Malaysia juga sedang menguji teknologi ini di lebuhraya. Menurut beberapa sumber, terdapat operator lebuhraya yang telah menggunakan sistem pemprosesan di belakang tabir yang mampu mengesan ralat pembayaran, mengenal pasti nombor plat klon, dan mengurus caj tol selepas perjalanan.
Namun, jika sistem ini mahu dilaksanakan secara menyeluruh, aspek ketepatan dan keadilan sangat penting. Jika berlaku kesilapan atau pertikaian, pengguna perlu tahu saluran yang betul untuk membuat semakan. Sistem juga perlu cekap dalam mengenal pasti penyalahgunaan seperti nombor plat palsu.
Jika ia telah terbukti berkesan di pusat beli-belah, kenapa tidak diperluas ke tempat lain seperti pejabat, sekolah, kondominium, dan kawasan majlis tempatan? Lagi mudah proses harian, lagi besar sokongan orang ramai terhadap perubahan.
ANPR membuktikan bahawa AI tidak perlu kompleks untuk memberi kesan. Ia membantu secara praktikal, perlahan tetapi berkesan. Inilah jenis teknologi yang wajar dibangunkan lebih meluas di Malaysia. Bagi kebanyakan orang, yang penting ialah keberkesanan. Saya lebih menghargai teknologi yang memudahkan urusan harian. Masih rasa AI hanya untuk orang malas? Fikir semula. – UTUSAN
FIRDAUS NOOR
Akauntan yang minat teknologi dan AI










