Jangan hanya harapkan guru didik anak

Jangan hanya harapkan guru didik anak

IBU bapa perlu memainkan peranan bentuk dalam membentuk sahsiah selain ilmu dalam jiwa anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA terduduk sejenak membaca kisah seorang kanak-kanak lelaki yang didera dan diliwat bapa kandung. Hati wanita dan guru dalam diri saya bergoncang hebat. Di manakah benteng perlindungan anak-anak hari ini? Bila rumah bukan lagi tempat yang selamat, siapakah yang akan menyambut anak-anak ini yang datang ke sekolah dengan luka yang tidak kelihatan?

Anak-anak datang ke sekolah bukan hanya membawa buku dan pensel tetapi membawa bersama trauma, kesunyian, keliru identiti dan jiwa yang haus kasih sayang. Di sinilah guru bangkit sebagai wira senyap yang memujuk, mendengar, memeluk dengan doa dan membimbing dengan sabar. Di tengah hiruk-pikuk dunia yang penuh godaan, suara-suara halus yang memanggil ke arah kebaikan semakin tenggelam. Jika bukan ibu bapa yang menjadi pelindung dan guru yang menjadi pembimbing, maka siapa lagi yang akan mengangkat anak-anak ini keluar dari kegelapan?

Sebagai pendidik selama 30 tahun, saya melihat sendiri perubahan generasi ini. Saya masuk ke sekolah-sekolah luar bandar, sekolah Orang Asli, sekolah pedalaman, anak-anak ini sangat istimewa. Mereka bukan tidak mahu belajar tetapi perlukan lebih daripada sekadar silibus. Mereka perlukan hati yang memahami dan tangan yang memimpin.

Namun reformasi yang ingin dicapai tidak akan berlaku jika hanya sebelah pihak yang berusaha. Guru tidak mampu mendidik sendirian. Ibu bapa tidak boleh terus menyerahkan segalanya kepada sekolah. Kegagalan anak bukan salah guru semata dan kejayaan anak bukan hasil tuisyen mahal sahaja.

Wahai ibu bapa, jangan biarkan guru mendidik anak kalian sendirian. Jangan hanya hadir ke sekolah bila ada masalah. Jadilah rakan reformasi. Dengarlah anak kalian. Dakaplah mereka. Semaikan nilai walau dalam kata yang sedikit. Mereka tidak mahu gajet, mereka mahu kasih.

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), maka ibu bapalah yang mencorakkannya.” Ayat ini menegaskan betapa berat dan sucinya amanah kita. Guru pula menjadi penyambung kepada amanah ini, memimpin mereka di saat ibu bapa tiada di sisi.

Ayuhlah wahai ibu bapa, kita genggam tangan anak-anak ini. Kita bimbing mereka dengan penuh kasih, sabar dan doa. Bukan sekadar mencetak kejayaan akademik tetapi membina insan yang luhur, berjiwa besar dan berakhlak mulia. Anak-anak yang akan menjadi cahaya dunia dan penyejuk mata di akhirat nanti.

Dan wahai guru, walau jalan ini penat, teruskan langkah kalian. Kalian sedang membentuk masa hadapan negara. Kalian sedang memegang tangan anak-anak kecil yang sedang mencari makna hidup. Setiap sentuhan kalian adalah cahaya.-UTUSAN

SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN