Gagal matematik: Salah guru, pelajar atau sistem?

Gagal matematik: Salah guru, pelajar atau sistem?

SISTEM pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan memberi kesan kepada cara matematik diajar dan dipelajari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MATEMATIK merupakan salah satu subjek teras malah menjadi komponen penting dalam kehidupan seharian. Namun begitu, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah ramai pelajar di negara kita masih gagal dalam subjek ini.

Salah satu sebab utama pelajar gagal dalam matematik ialah pendekatan pembelajaran yang terlalu berorientasikan hafalan dan latihan semata-mata tanpa pemahaman konsep secara mendalam.

Selain itu, sikap takut kepada matematik turut menyumbang kepada masalah ini. Ramai pelajar sejak awal lagi telah membina persepsi subjek ini sukar, membosankan dan tidak relevan dengan kehidupan harian.

Faktor lain yang perlu dilihat ialah keberkesanan guru dalam menyampaikan pelajaran. Tidak dapat dinafikan terdapat ramai guru matematik berpengetahuan luas dalam bidang ini. Namun, kemahiran pedagogi mereka kadang-kadang tidak memadai untuk menerangkan konsep secara mudah dan menarik kepada pelajar.

Sesetengah guru lebih menekankan untuk menamatkan sukatan pelajaran dengan cepat berbanding memastikan pelajar benar-benar faham. Hal ini menyebabkan sebahagian pelajar ketinggalan dan tidak mampu mengejar pelajaran yang semakin kompleks.

Sementara kompetensi seorang guru bukan sahaja diukur melalui sijil akademik, tetapi sejauh mana mereka mampu mengadaptasi kaedah pengajaran yang berpusatkan murid, memperkenalkan pembelajaran kontekstual dan menginspirasikan minat terhadap subjek tersebut. Guru yang berkesan ialah mereka yang dapat membuatkan pelajar merasa matematik itu relevan, menyeronokkan dan boleh dikuasai.

Perbandingan China dan Singapura amat membuka mata. Di China, pendidikan matematik diberikan penekanan yang sangat serius sejak dari sekolah rendah. Pelajar diajar untuk memahami konsep secara mendalam melalui banyak latihan dan penerangan yang teliti.

Guru-guru di sana pula sering menjalani latihan profesional secara berterusan dan memiliki pakar khas dalam pendidikan matematik yang membimbing pengajaran di sekolah.

Sistem pendidikan mereka juga menekankan pemahaman mendalam dan kebolehan menyelesaikan masalah, bukannya sekadar menghafal kaedah.

Di Singapura pula, pendekatan Concrete-Pictorial-Abstract digunakan secara meluas dalam pengajaran matematik. Kaedah ini membimbing pelajar daripada memahami konsep secara konkrit menggunakan objek, kemudian beralih kepada gambaran visual dan akhirnya kepada peringkat abstrak melalui simbol dan formula. Pendekatan ini terbukti berkesan dan diadaptasi oleh banyak negara lain.

Singapura juga melabur besar dalam melatih guru matematik bagi memastikan setiap guru yang mengajar benar-benar pakar dalam subjek tersebut, bukannya hanya mengajar kerana diarahkan.

Keluarga dan masyarakat di kedua-dua negara berkenaan sangat menghargai pencapaian akademik, terutamanya dalam matematik. Ibu bapa sering kali terlibat aktif dalam menyokong pembelajaran anak-anak di rumah. Ini berbeza dengan budaya di Malaysia yang mana sokongan keluarga dalam pembelajaran matematik masih belum menyeluruh. Ramai pelajar dibiarkan bergantung sepenuhnya kepada sekolah dan guru, sedangkan pengukuhan di rumah adalah sama penting.

Faktor sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan juga memberi kesan kepada cara matematik diajar dan dipelajari.

Guru terpaksa mengejar silibus dan memastikan pelajar mampu menjawab soalan peperiksaan, lalu mengorbankan masa untuk penerangan secara lebih mendalam dan pembelajaran yang menyeronokkan. Sistem yang mengutamakan markah berbanding kefahaman sebenar ini perlu diteliti semula.

Di samping itu, perkembangan teknologi juga memberi kesan. Pelajar zaman kini lebih tertarik kepada gajet dan media sosial, menyebabkan tumpuan terhadap pelajaran semakin merosot.

Matematik memerlukan latihan yang konsisten dan fokus yang tinggi. Tanpa disiplin diri, adalah sukar untuk mencapai kejayaan dalam subjek ini walaupun guru telah berusaha sebaik mungkin.

Sebagai penyelesaian, perubahan perlu berlaku secara menyeluruh. Guru perlu dilatih semula dengan lebih intensif dalam pendekatan pedagogi matematik moden.

Buku teks dan bahan bantu mengajar perlu direka untuk mendorong pemikiran kritis dan kreativiti, bukan sekadar menghafal formula.

Sistem pentaksiran juga perlu dirombak agar dapat menilai kefahaman sebenar, bukan hanya ketepatan jawapan.

Selain itu, pembentukan sikap positif terhadap matematik perlu bermula seawal mungkin. Pelajar harus didedahkan dengan cara matematik digunakan dalam kehidupan sebenar agar mereka memahami kepentingannya.

Kempen kesedaran, aktiviti kelab matematik, pertandingan menyelesaikan masalah dan penggunaan permainan pendidikan boleh membantu membentuk minat dan menghilangkan ketakutan terhadap subjek ini.

Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu diberi pendedahan bagi menyokong pembelajaran matematik. Dengan kerjasama antara guru, ibu bapa dan pelajar, ekosistem pembelajaran yang sihat dapat dibentuk.-UTUSAN

CIKGU CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN