SEJARAH politik merekodkan isu korupsi, kronisme dan nepotisme merupakan punca utama seorang pemimpin atau sesebuah kerajaan pemerintah ditolak rakyat. Bahayanya ‘virus’ ini kerana boleh mengundang kebencian rakyat.
Bukankah hal sedemikian pernah menjadi sebahagian daripada agenda utama sehingga tertegaknya perjuangan di atas nama PKR?
Ingatlah tangan pengundi yang menyokong dan mengangkat mereka (pemimpin hari ini) membolehkan PKR menjadi salah sebuah parti yang pemerintah di Putrajaya. Jadi, mengapa membenarkan nepotisme ‘kukuh’ dalam parti?
Tidak keterlaluan jika rakyat menganggap PKR sebagai parti yang sentiasa berkisarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah.
Istilah nepotisme itu pernah dipopularkan oleh pimpinan PKR tetapi akhirnya berbalik menimpa diri sendiri.
Walaupun pada asasnya dibenarkan secara demokrasi untuk Nurul Izzah bertanding namun harus diingat bahawa pemusatan kuasa boleh berlaku seandainya jawatan nombor satu dan dua dikuasai oleh ahli keluarga.
Fenomena reformasi berlaku pada 1998 selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Secara faktanya, pembabitan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah dalam politik disebabkan faktor simpati terhadap nasib Anwar yang sebelum ini dipenjarakan.
Namun begitu, apakah perkembangan terbaharu dalam pemilihan parti ini memungkinkan keadaan menjadi lebih kritikal jika spekulasi dan persepsi yang ditimbulkan oleh banyak pihak tidak diurus dengan baik? Ia bakal mengulangi kembali ‘virus’ kebencian yang boleh meruntuhkan Kerajaan Madani.-UTUSAN
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang










