BAYANGKAN hanya dua miligram serbuk putih sebesar hujung pen mata bola cukup untuk menghentikan nafas seseorang dalam beberapa minit. Inilah realiti bahaya fentanyl, sejenis opioid sintetik yang pada asalnya digunakan dalam bidang perubatan sebagai ubat tahan sakit tetapi telah disalahgunakan.
Fentanyl telah menjadi racun senyap yang mula menyusup ke dalam pasaran gelap Malaysia membawa risiko kesihatan awam yang amat membimbangkan. Dos kecil yang tidak disengajakan boleh menyebabkan penurunan kadar pernafasan, kehilangan kesedaran dan kematian mengejut.
Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, lebih 70,000 kematian akibat pengambilan dos fentanyl yang berlebihan direkodkan pada 2022.
Lebih membimbangkan, bahaya fentanyl semakin sukar dikawal apabila ia sering dicampurkan dengan dadah lain seperti heroin, methamphetamine dan kokain tanpa disedari pengguna. Fenomena ini meningkatkan risiko kematian mengejut kerana pengguna tidak sedar mereka mengambil dos berlebihan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini mendedahkan bahawa hasil analisis telah berjaya menemukan fentanyl dan juga methampehtanime di dalam air kumbahan di Lembah Subang dan Johor. Penemuan ini menunjukkan kemungkinan wujudnya makmal pemprosesan dadah di kawasan tersebut dan sekaligus menunjukkan bahawa penyalahgunaan fentanyl bukan lagi isu luar negara semata-mata.
Cabaran Baharu dalam Penyalahgunaan Fentanyl
Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh dengan memperluas senarai analog fentanyl yang dikawal dan melengkapkan agensi penguatkuasa dengan teknologi pengesanan terkini.
Pemantauan terhadap e-dagang dan media sosial perlu diperketatkan bagi mengesan penjualan dadah secara dalam talian yang semakin sukar dikesan.
Latihan kepada petugas kesihatan, guru, kaunselor dan pengamal undang-undang perlu diperhebatkan agar mereka mampu mengenal pasti tanda awal penyalahgunaan dadah sintetik ini. Kempen kesedaran masyarakat juga perlu diperluaskan melalui pelbagai saluran seperti media massa, sekolah, komuniti dan rumah ibadat supaya maklumat tentang risiko fentanyl dapat sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Penubuhan sistem pemantauan epidemiologi dadah sintetik di peringkat nasional perlu dipertimbangkan bagi mengumpul data, menganalisis trend dan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.
Dengan kesedaran, tindakan bersepadu dan empati masyarakat, kita mampu menghalang ia daripada menular. Keluarga, sekolah, institusi agama, NGO dan media, semua pihak mempunyai peranan yang tidak boleh dipandang remeh.
Ibu bapa perlu mendidik anak-anak sejak awal tentang bahaya dadah moden, memantau pengaruh digital mereka dan membina komunikasi terbuka. Kerajaan pula perlu bertindak lebih pantas daripada perkembangan pasaran gelap, melalui penyelidikan tempatan, penguatkuasaan pintar dan strategi pencegahan berasaskan komuniti.
Pujian harus diberikan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang terus proaktif memperkukuh usaha pencegahan dan rawatan, seiring cabaran baharu dadah sintetik seperti fentanyl. Seperti ditegaskan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, “Kita tidak boleh lagi guna pendekatan lama.
Dadah jenis baharu ini berevolusi, dan kita kena bersedia dari segi rawatan, pencegahan dan penguatkuasaan.” Namun, tanggungjawab ini bukan milik agensi semata-mata.
Peranan semua pihak termasuk masyarakat, keluarga dan sekolah amat penting untuk membina benteng awal. Hanya dengan usaha bersama, kita mampu melindungi generasi akan datang daripada racun senyap ini. – UTUSAN
DR. MOHAMAD HALIM
MOHAMAD SHARIFF
Pensyarah kanan (Neurosaintis Ketagihan),
Fakulti Sains Kesihatan,
UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam










