CADANGAN supaya Malaysia mencontohi beberapa negara maju seperti Jepun, Jerman, Australia, Kanada dan Singapura yang mengambil langkah berani meningkatkan had usia persaraan melebihi 63 tahun dan mencapai 65 tahun harus dilihat dari sudut pandangan yang lebih luas.
Negara-negara terbabit mungkin mempunyai indikator dan data saintifik tersendiri yang mendorong mereka menaikkan had usia persaraan. Namun Malaysia tidak boleh sewenangnya mengikut jejak langkah tersebut tanpa mengambil kira realiti domestik, ekonomi dan sosial negara pada masa ini.
Apapun, impak positif jika usia persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun tidak harus diketepikan. Bagi yang sihat dari segi mental dan fizikal, kemahiran dan pengalaman mereka adalah sesuatu yang berguna kepada organisasi. Selain itu, tempoh pekerjaan yang lebih panjang juga memperkukuh keselamatan kewangan dan menyediakan persiapan lebih baik untuk persaraan.
Harus diakui, pekerja masa kini rata-rata terdiri daripada mereka yang celik teknologi dan aktif berbanding generasi terdahulu. Justeru sememangnya tidak mustahil mereka berupaya bekerja dengan produktif seiring usia 60 tahun dan ke atas.
Namun begitu harus diingat, bekerja sehingga umur 65 tahun mungkin bakal memberikan tekanan dari segi mental dan fizikal selain mengganggu perancangan kehidupan peribadi sesetengah orang.
Pada masa sama mereka mungkin berdepan masalah kesihatan membimbangkan seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung serta gangguan kesihatan mental seperti stres dan keletihan melampau. Peningkatan usia pada hakikatnya seiring dengan keupayaan fizikal dan mental seseorang yang akan mula menurun secara semula jadi.
Secara umumnya juga, menaikkan had usia persaraan akan hanya melanjutkan dominasi generasi terdahulu dan bakal menyempitkan lagi laluan masuk anak muda ke dalam pasaran kerja. Secara tidak langsung ia boleh menambah kadar pengangguran dan menghakis keyakinan generasi muda terhadap masa hadapan ekonomi negara.
Dari sudut lain, lanjutan usia persaraan berpotensi melambatkan proses kenaikan pangkat dan peralihan kepimpinan muda, sekali gus mencetuskan ketidakpuasan hati generasi muda, akhirnya mendorong mereka yang layak untuk berhijrah ke luar negara bagi mengejar tawaran gaji lebih tinggi.
Rumusannya, meningkatkan had usia persaraan tidak sesuai untuk dilaksanakan bagi semua sektor pekerjaan. Sudah tentu pekerjaan yang memerlukan ketahanan fizikal seperti sektor pembinaan, perkilangan atau perladangan tidak sesuai dengan cadangan ini.
Namun begitu, membenarkan pakar-pakar lama yang masih sihat untuk terus berkhidmat sehingga usia 65 wajar dipertimbangkan. Terdapat kekurangan tenaga mahir di bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, pendidikan tinggi dan perundangan. Kepakaran dan pengalaman luas mereka mampu menjadi aset penting dalam memastikan kelangsungan mutu perkhidmatan serta membantu melatih generasi baharu.
Isu ini juga perlu dibincangkan secara terbuka melibatkan suara generasi muda, pakar pendidikan, pemain industri serta mereka yang berkaitan. Selain itu, perlu ada kajian yang menyeluruh dan strategi teratur sebelum melaksanakannya.
Apapun, pelanjutan tempoh perkhidmatan secara kontrak selepas usia persaraan seperti yang diamalkan sekarang juga mungkin lebih praktikal berbanding melanjutkan umur bersara semua kakitangan.-UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










