DALAM era globalisasi yang serba pantas, cabaran terhadap pembentukan sahsiah remaja menjadi semakin kompleks. Keseimbangan remaja tidak hanya tertumpu pencapaian akademik, malah turut merangkumi keperluan terhadap adab, kesusilaan dan akhlak yang tinggi. Ketiga-tiga elemen ini menjadi kunci penting dalam membentuk kepimpinan remaja yang seimbang, berintegriti dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Pemimpin yang sejati bukan hanya bijak dalam membuat keputusan, tetapi juga terdidik dengan nilai adab yang tinggi. Adab terhadap diri, orang lain dan alam sekitar memperlihatkan kematangan remaja dalam memimpin dengan hati, bukan hanya dengan kuasa. Kesusilaan pula membentuk pertuturan dan tingkah laku yang sopan, menjadikan seseorang itu dihormati lagi disegani.
Remaja yang mengamalkan akhlak mulia cenderung untuk bertindak dengan penuh empati dan tanggungjawab. Akhlak yang baik mencerminkan kesedaran spiritual dan keteguhan prinsip moral. Ia menjadi benteng kepada gejala negatif yang boleh merosakkan potensi kepimpinan. Ia turut memperkukuh ketahanan diri dalam membuat keputusan secara beretika.
Nilai-nilai kerohanian yang dipupuk melalui doa, refleksi dan amalan harian dapat memurnikan hati remaja serta membina jati diri. Remaja yang dibimbing dengan nilai spiritual lebih cenderung untuk mengawal emosi, menilai baik buruk tindakan selain menjaga maruah diri. Inilah akar kepimpinan yang luhur.
Keseimbangan emosi remaja boleh dicapai dengan amalan pengurusan stres berteraskan pendidikan nilai adab dan kesopanan diri. Mengamalkan gaya hidup sihat, berkomunikasi secara berhemah serta mencari bantuan melalui bimbingan kaunseling adalah langkah bijak dalam menangani tekanan selari dengan ajaran akhlak dan kesusilaan yang tinggi.
Institusi pendidikan perlu menjadi pemangkin kepada budaya adab dan kesusilaan. Program seperti kem kepimpinan yang menyuntik ilmu sahsiah dan akhlak terpuji, pertandingan model remaja terpuji, merupakan sokongan atau tanda Malaysia menekankan ilmu adab serta akhlak. Aktiviti sebegini boleh menjadi wadah memperkukuh nilai-nilai murni. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menunjukan teladan dalam amalan seharian agar remaja dapat belajar secara langsung melalui pemerhatian dan peniruan tingkah laku positif.
Apabila remaja dididik dengan nilai-nilai murni ini sejak awal, mereka bukan sahaja mampu berdepan dengan tekanan hidup, malah akan menjadi ejen perubahan yang membawa kemajuan berpaksikan nilai kemanusiaan. Maka, sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu dalam mengangkat kembali martabat adab dan akhlak sebagai asas pembentukan kepimpinan remaja negara.-UTUSAN
DR. NOR ASIKHIN ISHAK
Universiti Utara Malaysia (UUM)










