WhatsApp bukan sekadar alat kerja

WhatsApp bukan sekadar alat kerja

WHATSAPP menjadi penghubung untuk mengembalikan hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang mungkin sudah lama terputus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI era digital ini, WhatsApp bukan lagi sekadar aplikasi komunikasi biasa. Ia menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat, bukan sahaja untuk berkomunikasi dan bersosial, malah turut digunakan secara meluas dalam urusan kerja.

Namun, di sebalik kemudahan ini, tersembunyi satu dilema yang semakin ketara, khususnya apabila tiba musim perayaan.

Kajian yang dijalankan pensyarah kanan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya mendapati penggunaan WhatsApp sebagai saluran komunikasi kini menjadi budaya dalam organisasi moden. Komunikasi kerja boleh berlaku pada bila-bila masa, seawal pagi selepas bangun tidur sehingga lewat malam sebelum tidur, memudahkan pekerja dan majikan mendapatkan maklum balas segera, terutama ketika berada di luar pejabat.

Walaupun budaya ini sering dianggap sebagai norma dalam meningkatkan produktiviti harian, ia boleh menjadi isu sensitif apabila melibatkan waktu cuti atau musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Amat penting bagi majikan memahami keperluan pekerja untuk berehat dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, terutamanya semasa musim perayaan. Cuti adalah waktu yang sangat dinanti-nantikan untuk menyegarkan diri dan menikmati detik-detik berharga bersama orang tersayang. Oleh itu, memberi ruang kepada pekerja untuk benar-benar berehat tanpa gangguan kerja bukan sahaja membuatkan mereka berasa dihargai, tetapi akan membantu mereka kembali dengan semangat dan motivasi yang segar.

Namun begitu, kita tidak harus melupakan peranan penting WhatsApp sebagai ‘jambatan hati’ untuk menyambung kembali hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang mungkin sudah lama terputus. WhatsApp memudahkan berhubung, berkongsi kegembiraan dan memperbaharui tali silaturahim, sekali gus mengingatkan kita hubungan yang tulus tidak semestinya bergantung pada pertemuan fizikal.

Ini kerana aplikasi ini menjadi saluran dan memberi ruang untuk kita menyampaikan ucapan raya, bertanya khabar, berkongsi gambar dan video suasana Aidilfitri, serta melakukan panggilan video dengan insan tersayang yang jauh. Ia mengingatkan hubungan yang tulus tidak semestinya bergantung pada pertemuan fizikal.

Pun begitu, WhatsApp boleh menjadi sumber tekanan jika digunakan secara tidak beretika dalam konteks kerja, tetapi ia juga boleh menjadi sumber kasih sayang dan penghubung jiwa dalam konteks kekeluargaan serta perayaan. Keseimbangan inilah yang perlu dicapai.

Organisasi boleh memainkan peranan dengan menetapkan garis panduan komunikasi kerja semasa cuti, manakala individu pula harus belajar untuk mengurus masa dan emosi dengan lebih berkesan. Pada masa sama, kita semua boleh mengambil peluang sempena Aidilfitri ini untuk mengeratkan hubungan dengan menghantar mesej raya yang ikhlas kepada mereka yang pernah hadir dalam hidup.

Kadang-kadang, satu mesej ‘kecil’ mampu membawa perubahan yang besar. Aidilfitri adalah masa untuk menghargai, memaafkan dan menyambung silaturahim. Maka, dalam kesibukan dunia digital hari ini, ayuh kita jadikan WhatsApp bukan sekadar alat kerja, tetapi juga medium penghubung kasih sayang yang sejati.-UTUSAN

DR. NUR SYAZWANI
Pensyarah Kanan di Pusat Asasi
Sains Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN