Siap sedia dari awal untuk tunai haji

Siap sedia dari awal untuk tunai haji

BAGI yang mendapat panggilan haji perlu melakukan pelbagai persediaan supaya perjalanan ibadah di Tanah Haramain itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

umat Islam semakin dekat untuk menyambut Hari Raya Haji. Jemaah Haji Malaysia pula menanti dengan debar untuk menunaikan Fardu Haji.

Penerbangan pertama jemaah haji pada 29 April dan penerbangan akhir pada 30 Mei manakala Hari Raya Haji pula pada 7 Jun nanti. Seramai 31,600 rakyat Malaysia akan menunaikan Fardu Haji pada tahun ini.

Bagi yang mendapat panggilan haji, perlu melakukan pelbagai persediaan supaya dapat memastikan perjalanan ibadah di Tanah Haramain dilaksanakan sebaik mungkin.

Sebahagian jemaah yang ingin sangat ke sana mungkin terdorong untuk memohon visa mujamalah atau furada. Ada pihak yang menawarkan pakej demikian, namun perlu berhati-hati kerana dibimbangi ia merupakan satu bentuk penipuan kerana tiada jaminan visa akan diperoleh.

Pastinya penjagaan kesihatan perlu dilakukan sehabis sempurna. Tempoh masa di sana, bukan singkat. Rata-rata jemaah mengambil masa lebih kurang 45 hari di Tanah Suci.

Bagi jemaah yang berpenyakit, kuantiti ubat yang dibawa perlulah mencukupi untuk bekalan lebih sebulan di sana. Makanlah mengikut jadual yang ditetapkan pihak berkuasa kesihatan di Malaysia.

Perubahan cuaca, kesesakan, pelbagai pergerakan sepanjang di sana dan pelaksanaan ibadah menuntut ketahanan mental dan fizikal para jemaah. Menghadapi suhu musim panas yang melebihi 40 darjah Celsius, bukan cabaran mudah. Strok haba boleh sahaja berlaku.

Sebelum berlepas ke Tanah Suci, jemaah wajar melakukan pergerakan fizikal, supaya badan berada dalam keadaan sihat dan cergas. Pelaksanaan tawaf, saie dan melontar jamrah memerlukan jemaah berjalan kaki pada jarak agak jauh.

Oleh sebab fokus ke sana ialah ibadah, jemaah sewajarnya mengurangkan aspek membeli-belah dan bersantai-santai sehingga selesai pelaksanaan haji masing-masing.

Pada Hari Arafah, hayatilah khutbah yang banyak membawa nasihat dan pesanan berguna. Berdoalah penuh khusyuk dan lakukan munajat, zikir dan pengisian lain yang bermanfaat.

Aspek pengisian kualiti masa perlu juga ditekankan. Contohnya, ada jemaah yang sihat walafiat, tetapi bersolat di surau hotel, sedangkan ganjaran pahala adalah besar jika bersolat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Kehadiran jemaah memang sangat padat. Dianggarkan lebih 2.5 juta jemaah menunaikan Fardu Haji. Kesesakan berlaku baik di Makkah, Arafah dan Mina. Berhati-hati dalam pergerakan di tengah-tengah jutaan jemaah.

Kes jemaah sesat dan dipijak, bukan perkara asing. Sewajarnya jemaah bergerak secara berkumpulan atau mengikut segala arahan petugas Tabung Haji, bagi mengelakkan sebarang isu.

Pastinya apabila keadaan begitu bersesak-sesak, menuntut kesabaran para jemaah. Soal bas lambat, lif penuh, khemah sesak, kurang selesa dan menunggu giliran yang panjang untuk mandi dan menggunakan tandas, adalah perkara biasa.

Harus diingat, kebanyakan kemudahan perlu digunakan secara berkongsi dengan jemaah negara lain, khasnya jemaah muasasah. Bagi jemaah yang pergi secara pakej, tentu kurang sedikit masalah.

Jemaah dari negara kita dipandang tinggi oleh pihak berkuasa Haji Arab Saudi kerana berdisiplin dan kurang melakukan perkara yang dilarang. Jadi, kekalkan imej berkenaan.

Impian juga harapan untuk mendapat haji yang mabrur pastinya ada pada setiap jemaah, maka mereka perlu melaksanakan rukun serta wajib haji dengan penuh tekun dan sempurna.-UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN