PROGRAM Santuni Warisan @ Literasi Kelas Rimba Bateq (KRB) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej Sepuluh dengan sokongan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) telah menyantuni masyarakat Orang Asli suku Bateq di Pahang, baru- baru ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan memperkasa pendidikan asas anak-anak suku Bateq sebagai persediaan ke sekolah aliran perdana serta memperkenalkan pembelajaran dalam suasana budaya, aktiviti seni, dan rekreasi.
Program ini bukan sekadar berkongsi ilmu, tetapi juga memberi peluang kepada sukarelawan untuk memahami budaya masyarakat Bateq dengan lebih dekat.
Kami saling berkongsi ilmu, kami turut belajar daripada mereka. Pengalaman ini membuktikan bahawa pendidikan dan hubungan antara komuniti boleh terjalin melalui keikhlasan serta rasa hormat.
Aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat suku Bateq, termasuk berenang, bermain rakit buluh, dan meneroka sungai.
Sungai ini bukan sekadar tempat bermain, tetapi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Keberanian dan kebolehan mereka luar biasa. Ini pengalaman berharga yang memberi perspektif baharu kepada semua.
Selain aktiviti luar, program ini turut menekankan aspek pendidikan bagi membantu anak-anak suku Bateq menguasai kemahiran asas pembelajaran.
Program ini memberi impak positif apabila pelajar di Kelas A dan B sudah mampu membaca, menulis, dan mengira.
Hasil usaha KRB jelas apabila ada dalam kalangan mereka yang sudah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Sukarelawan juga menggunakan pendekatan kreatif bagi memastikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.
Dalam pada itu, program ini adalah satu langkah kecil ke arah perubahan yang lebih bermakna dalam menyokong pendidikan dan pembangunan komuniti ini, sekali gus mengukuhkan usaha ke arah pendidikan yang lebih inklusif. – UTUSAN
NURIN AMYRA AMIR AHMAD
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM










