Perkasa hukuman cegah jenayah yang berleluasa

Perkasa hukuman cegah jenayah yang berleluasa

MALAYSIA mampu menjadi negara yang lebih aman dan sejahtera jika setiap lapisan masyarakat memainkan peranan dalam usaha mencegah jenayah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat semakin resah dengan peningkatan kadar jenayah di negara ini. Laporan media menunjukkan jenayah bukan sahaja berlaku dengan lebih kerap, tetapi juga semakin berani dan ganas.

Ini apabila kes rompakan besar yang dilakukan secara terbuka, pencurian bersenjata, jenayah siber yang licik dan lain-lain menunjukkan ia bukan lagi perkara asing. Lebih membimbangkan, sebahagian besar penjenayah kini tidak lagi gentar terhadap sistem keadilan dan penguatkuasaan.

Salah satu fenomena yang ketara ialah keberanian penjenayah seolah-olah mencabar undang-undang dan tidak takut dengan hukuman yang menanti. Penjenayah kini berani melakukan jenayah walaupun di kawasan awam, di siang hari dan dengan menggunakan senjata berbahaya.

Lebih membimbangkan, terdapat juga warga asing yang terlibat. Sebilangan mereka menyalahgunakan kemudahan berada di negara ini dengan menjalankan aktiviti haram seperti pengedaran dadah, pelacuran, penyeludupan barangan terlarang serta penipuan dalam talian. Fenomena ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menggugat keselamatan awam dan mencemarkan imej negara.

Keadaan ini menandakan bahawa pendekatan semasa dalam mendidik, mengawal dan menghukum jenayah mungkin perlu disemak semula.

Penggunaan teknologi moden, analisis data jenayah dan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) wajar diperluas. Selain itu, rondaan berkala di kawasan panas dan tumpuan awam juga boleh membantu mengurangkan kejadian jenayah.

Hukuman yang setimpal antara aspek terpenting dalam usaha mencegah jenayah. Undang-undang perlu bersifat tegas tetapi adil. Bagi kesalahan jenayah yang berat seperti rompakan bersenjata, pembunuhan, penyeludupan manusia dan pengedaran dadah, hukuman yang lebih berat dan bersifat pencegahan boleh dipertimbangkan.

Namun, hukuman sahaja tidak mencukupi jika tidak dilaksanakan dengan pantas dan konsisten. Proses perundangan yang cekap serta ketelusan sistem kehakiman akan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap keadilan.

Walaupun hukuman itu penting, pencegahan dari awal lebih utama. Pendidikan tentang nilai moral, etika, tanggungjawab sosial dan undang-undang perlu diterapkan sejak kecil. Sekolah dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan bukan sahaja dalam membentuk pelajar cemerlang akademik, tetapi juga individu yang berakhlak dan berintegriti tinggi.

Masyarakat perlu dididik tentang bahaya jenayah, cara mengenal pasti potensi jenayah dan saluran untuk melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan. Apabila masyarakat mempunyai kesedaran tinggi, jenayah lebih sukar untuk berkembang.

Ia adalah tanggungjawab bersama. Kita harus bekerjasama, saling menyokong dan sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada.

Komuniti boleh memainkan peranan aktif dalam menjaga keselamatan kawasan perumahan melalui program rondaan sukarela, pemasangan sistem keselamatan serta membina hubungan baik dengan pihak berkuasa tempatan.

Dalam era digital, jenayah turut berkembang dengan lebih kompleks. Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemantauan masa nyata dan sistem pangkalan data boleh membantu pihak berwajib mengenal pasti dan mengesan pelaku dengan lebih cepat dan tepat.

Selain itu, penggunaan aplikasi keselamatan untuk aduan segera, sistem rekod jenayah berpusat dan latihan khusus dalam bidang forensik digital adalah langkah yang perlu diteruskan dan diperluas.

Dengan iltizam dan usaha berterusan, jenayah boleh ditewaskan. Ayuh kita bersatu dalam memastikan jenayah tidak terus mencengkam tanah air tercinta.-UTUSAN

MUHAMMAD SHAHEER ABDUL KADIR
Pelajar SMK Dato’ Sulaiman,
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN