Peranan ibu bapa pastikan silaturahim kekal terpelihara

Peranan ibu bapa pastikan silaturahim kekal terpelihara

MENERUSI kunjungan raya, ibu bapa berpeluang memperkenalkan anak-anak kepada saudara-mara yang jarang ditemui dalam kehidupan seharian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM perayaan seperti Aidilfitri membawa makna yang amat mendalam kepada masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam. Di sebalik kemeriahan sambutan, acara kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara menjadi tradisi yang kian memudar dalam era digital ini.

Ibu bapa berperanan memastikan tradisi ini tidak luput daripada amalan generasi baharu. Ia amat signifikan dalam membentuk hubungan kekeluargaan yang kukuh. Kunjungan pada musim perayaan bukan sekadar mengenai makanan enak dan pakaian baharu, tetapi merupakan medium penting untuk memperkenalkan salasilah keturunan kepada anak-anak serta memupuk nilai silaturrahim yang semakin terhakis dalam masyarakat moden.

Masyarakat yang semakin sibuk dengan urusan kerja dan kehidupan moden menyebabkan pertemuan dengan sanak saudara menjadi semakin jarang. Perayaan seperti Aidilfitri menyediakan platform yang ideal untuk memperbaharui semula hubungan dengan ahli keluarga yang mungkin terputus hubungan akibat kesibukan masing-masing.

Ibu bapa perlu menyedarkan anak-anak bahawa hubungan kekeluargaan perlu dipelihara dan diperkukuh walaupun dipisahkan oleh jarak dan kesibukan. Situasi ini membolehkan anak-anak memahami silaturrahim bukan sekadar amalan bermusim tetapi perlu dikekalkan sepanjang tahun.

Menerusi kunjungan bermusim raya, ibu bapa berpeluang memperkenalkan anak-anak kepada saudara-mara yang jarang ditemui dalam kehidupan seharian. Hubungan kekeluargaan yang rumit seperti datuk saudara, nenek saudara, sepupu ibu atau bapa serta sanak saudara lain dapat dijelaskan dengan lebih mudah melalui pertemuan secara langsung.

Ahli psikologi menyarankan ibu bapa untuk memberitahu anak-anak tentang expect the expected (mengharapkan yang diharapkan) ketika aktiviti menziarahi saudara-mara dan rakan taulan di hari lebaran. Sebelum memulakan kunjungan, ibu bapa perlu menjelaskan tingkah laku yang diharapkan daripada anak-anak semasa berada di rumah orang. Penjelasan ini seharusnya disampaikan dalam bentuk positif dan mengelakkan penggunaan perkataan ‘jangan’ secara berlebihan yang boleh menyebabkan anak-anak berasa tertekan.

Dalam dunia yang semakin didominasi oleh teknologi digital, cabaran utama ibu bapa kini ialah mendidik anak-anak untuk berkomunikasi secara berkesan semasa bertemu dengan saudara-mara. Menurut pakar psikologi, kanak-kanak pada zaman ini menghadapi kesukaran interaksi sosial akibat kebergantungan terhadap gajet pintar.

Sebagai masyarakat yang mementingkan hubungan kekeluargaan, kita harus memastikan generasi akan datang memahami serta menghargai ikatan nasab keturunan yang menjadi tunjang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN