Malaysia harus kekal tegas, berani pejuang hak kemanusiaan

Malaysia harus kekal tegas, berani pejuang hak kemanusiaan

MALAYSIA tidak akan tunduk kepada sesiapa kecuali kepada keadilan, kebenaran dan Tuhan Yang Maha Kuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUDUHAN Malaysia akan menerima akibat ekonomi kerana sokongan terhadap Palestin adalah tidak berasas, bersifat retorik ketakutan dan mesti ditolak dengan penuh keyakinan serta kefahaman yang matang terhadap geopolitik antarabangsa.

Isu Palestin bukan sekadar isu Asia Barat, bukan hanya isu umat Islam tetapi ia adalah berkaitan kemanusiaan sejagat. Ini adalah pertembungan antara penjajahan dan kebebasan, antara kezaliman dan keadilan, antara penindasan dan hak asasi manusia yang paling asas ialah hak untuk hidup, pulang dan merdeka.

Malaysia, sejak era awal kemerdekaannya, telah memegang prinsip yang teguh bahawa kita berpihak kepada yang benar, meskipun yang benar itu lemah. Kita menentang yang zalim, meskipun yang zalim itu kuat. Maka, kita tidak boleh dan tidak akan berundur dalam mempertahankan rakyat Palestin.

Kita tidak boleh menukar pendirian hanya kerana amaran atau ugutan dagang daripada mana-mana kuasa besar dunia. Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadi negara yang menjual prinsipnya demi keuntungan jangka pendek.

Lihatlah Iran, sebuah negara yang selama lebih 40 tahun dikenakan sekatan ekonomi, diplomatik dan ketenteraan. Namun negara itu tidak runtuh. Mereka bangkit, membina kekuatan dalaman, memajukan teknologi nuklear, aeroangkasa, industri pertahanan, bioteknologi dan perubatan — semuanya di bawah sekatan.

Mereka membuktikan kemerdekaan sebenar bukanlah sekadar diisytihar di atas kertas, tetapi diperjuangkan dalam dasar, ekonomi, ilmu pengetahuan dan sikap berani melawan tekanan.

Malaysia juga mampu menjadi negara yang bebas dalam erti kata sebenar. Jika kita berani mempercayai kebolehan sendiri, memutuskan kebergantungan yang memudaratkan dan mengutamakan maruah berbanding keselesaan sementara.

Perjuangan untuk Palestin adalah cerminan kepada siapa kita sebagai sebuah negara.

Jika berpaling, kita berpaling daripada kemanusiaan itu sendiri. Jika tunduk, kita tunduk kepada sistem dunia yang menormalisasi penjajahan dan kezaliman.

Kita tidak akan tunduk. Kita tidak akan diam. Kita akan terus bersuara, selagi bumi Palestin masih dijajah, selagi anak-anaknya dibunuh dan selagi tanah mereka dirampas.-UTUSAN

 

FARIS ARRIFFIN
Naib Ketua Pemuda Nasional, Parti Amanah Negara (Amanah) & Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN