Kuil: Antara hak komuniti dan tanggungjawab perundangan

Kuil: Antara hak komuniti dan tanggungjawab perundangan

KERAJAAN perlu menunjukkan keikhlasan dalam mengurus kuil di atas tanah milik kerajaan atau persendirian secara profesional, bukan sekadar menjadikannya isu politik semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia, kewujudan kuil-kuil kecil yang dibina di atas tanah milik kerajaan atau persendirian bukanlah satu fenomena baharu. Kebanyakan kuil ini bermula secara kecil-kecilan, hasil inisiatif komuniti Hindu yang ingin menunaikan ibadah di kawasan tempat tinggal atau kerja.

Pada awalnya, kuil-kuil ini dibina tanpa perancangan jangka panjang atau dokumen rasmi yang sah, memandangkan komuniti yang terlibat ketika itu tidak memiliki akses kepada hak milik tanah atau kefahaman mendalam tentang peraturan perundangan yang berkaitan.

Namun, setelah puluhan tahun, kuil-kuil yang asalnya bersifat sementara ini mula berkembang menjadi struktur kekal, lengkap dengan bangunan konkrit, dewan komuniti dan pelbagai kemudahan lain. Komuniti setempat pula semakin ramai dan kuil menjadi pusat ibadah serta sosial yang sangat penting.

Situasi ini menjadi lebih rumit apabila tanah yang menempatkan kuil itu dikenal pasti untuk projek pembangunan, sama ada oleh pihak kerajaan atau pemilik tanah persendirian. Tindakan merobohkan kuil tersebut walaupun atas alasan sah dari segi undang-undang sering mendapat tentangan hebat daripada masyarakat, lalu bertukar menjadi isu perkauman dan agama.

Bagi mengelakkan masalah ini daripada berterusan, langkah sistematik perlu diambil oleh kerajaan dan masyarakat Hindu. Pertama, semua kuil yang wujud harus dipetakan secara rasmi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan majlis agama Hindu.

Status tanah setiap kuil perlu disahkan, sama ada milik kerajaan, persendirian atau rizab. Ini penting untuk membolehkan tindakan yang sesuai dirancang mengikut kes demi kes. Proses ini perlu dilakukan secara inklusif, terbuka dan dengan komunikasi yang jelas kepada semua pihak terlibat.

Seterusnya, proses pendaftaran dan penilaian semula harus dilaksanakan terhadap kuil-kuil yang belum berdaftar. Kriteria penilaian boleh merangkumi usia kuil, kepentingan kepada komuniti, keselamatan struktur bangunan dan kesesuaian lokasi. Bagi kuil yang benar-benar tidak sesuai dari segi perundangan dan keselamatan, satu pelan penempatan semula yang bermaruah boleh dilaksanakan. Kerajaan boleh menyediakan tanah alternatif dan proses pemindahan perlu dilakukan dengan penuh hormat, termasuk ritual keagamaan serta pembinaan semula dengan sokongan kemudahan asas.

Dalam masa sama, undang-undang dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan konsisten dan adil. Tiada lagi binaan baharu yang dibenarkan tanpa kelulusan. Dalam masa sama semua pihak perlu dididik mengenai keperluan mematuhi prosedur. Kerajaan juga perlu mengeluarkan dasar atau garis panduan khusus berkenaan pembinaan kuil di kawasan bandar dan luar bandar agar isu sama tidak berulang pada masa hadapan.

Pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat Hindu tentang keperluan pematuhan undang-undang perlu dipergiat, dan ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama bersama pemimpin komuniti dan pertubuhan agama.

Pada masa sama, penting untuk kerajaan menunjukkan keikhlasan dalam mengurus perkara ini secara profesional, bukan sekadar menjadikannya isu politik semata-mata. Keputusan berkaitan kuil mesti dibuat berasaskan prinsip keadilan, hak asasi dan keharmonian antara kaum.

Setiap tindakan perlu berlandaskan rundingan dan libat urus yang bermakna, bukan secara paksaan atau mengejut. Pihak media juga perlu memainkan peranan membina dalam laporan berita dengan tidak menimbulkan sentimen negatif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN