SESI persekolahan 2025 masih boleh dianggap baru sahaja bermula. Sudah pastinya banyak perancangan yang dibuat oleh pentadbiran sekolah untuk kemajuan sekolah masing-masing.
Masing-masing unit di bawah kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum mempunyai perancangan tersendiri. Masing-masing ingin mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) di akhir sesi persekolahan.
Malangnya, segala perancangan tidak akan berjaya sekiranya kewangan tidak mencukupi. Pihak sekolah terpaksa meraih simpati kepada ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun hasilnya belum pasti.
Pihak sekolah terpaksa memohon bantuan kewangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu pihak sekolah. Malangnya sumber kewangan PIBG tidak kukuh. Justeru, pihak kerajaan perlu menyalurkan bantuan kewangan kepada semua PIBG seluruh negara. Bantuan boleh disalurkan mengikut bilangan murid. Contohnya, RM10 untuk seorang.
Peruntukan ini digunakan untuk aktiviti kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid sahaja. Laporan kewangan penggunaan peruntukan dilaporkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) setiap bulan sebagai kawalan agar tidak tersasar penggunaannya.
Saya percaya kerajaan mampu melaksanakan cadangan ini seperti mana pemberian peruntukan tandas sebanyak RM70,000 setiap sekolah pada tahun lalu. – UTUSAN
CIKGU PENCEN
Pahang










