DALAM dunia moden yang serba pantas ini, artis bukan sekadar penghibur tetapi juga individu yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat, terutama remaja. Setiap perbuatan, tutur kata, pemakaian dan gaya hidup mereka menjadi perhatian umum dan dijadikan ikutan.
Salah satu aspek utama ialah cara artis berpakaian. Fesyen dikenakan sering menjadi trend dan inspirasi kepada peminat, khususnya remaja yang sedang mencari identiti diri.
Jika artis memilih untuk berpakaian dengan sopan dan bersesuaian dengan norma masyarakat, mereka dapat menyumbang kepada pembentukan budaya berpakaian yang lebih beretika.
Begitu juga dengan bahasa dan pertuturan. Jika artis menggunakan bahasa kesat, penuh dengan sindiran atau menghina orang lain, remaja mungkin akan menganggap penggunaan bahasa seperti itu sebagai normal dan boleh diterima.
Sementara artis yang menunjukkan keperibadian baik, rendah diri, menghormati orang lain serta bersikap profesional dalam kerjaya akan lebih dihormati masyarakat.
Sebaliknya, mereka yang sering terlibat dalam kontroversi, pergaduhan terbuka di media sosial atau bertindak kurang sopan boleh memberi pengaruh negatif kepada remaja atau peminat.
Selain itu, kehidupan peribadi artis juga sering menjadi perhatian umum, termasuk isu perceraian dan hubungan peribadi mereka. Walaupun perceraian adalah perkara peribadi, namun cara artis mengendalikan perpisahan boleh memberi kesan terhadap pandangan remaja tentang perkahwinan dan hubungan.
Jika artis menunjukkan sikap matang, saling menghormati dan tidak memburukkan pasangan di khalayak ramai, mereka dapat memberikan contoh bahawa setiap konflik boleh diselesaikan dengan cara yang baik.
Ramai artis menjalani kehidupan mewah dengan gaya hidup yang penuh glamor, melancong ke luar negara, memiliki barangan berjenama dan menghadiri majlis sosial yang eksklusif. Jika artis menunjukkan keseimbangan dalam kehidupan, misalnya dengan menekankan kepentingan ilmu, usaha gigih dan memberi sumbangan kepada masyarakat, mereka dapat membentuk remaja yang lebih realistik dalam mengejar kejayaan.
Dalam aspek hiburan pula, artis juga perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka hasilkan. Filem, lagu dan drama yang dicipta haruslah membawa mesej yang baik dan memberi manfaat kepada penonton.
Penting bagi artis untuk memastikan karya mereka bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik dan memberikan pengajaran yang baik kepada masyarakat.-UTUSAN
MUHAMMAD IMAN FATHI MOHD. IKHWAN
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong










