PELAJAR di seluruh negara telah memulakan sesi persekolahan baharu dengan penuh semangat dan azam untuk mencapai kecemerlangan. Sejajar dengan kemajuan teknologi dan perubahan dalam sistem pendidikan, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan minat pelajar dalam pembelajaran terus diperkukuhkan.
Penggunaan teknologi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan sekali gus memupuk minat anak- anak untuk lebih seronok belajar.
Maka, pendekatan pengajaran yang menggalakkan anak-anak untuk meneroka bidang yang diminati seperti sukan, seni atau sains dapat membantu meningkatkan motivasi mereka untuk terus menimba ilmu. Jika mereka benar-benar menguasai bidang yang diminati, kecemerlangan luar biasa pasti akan lebih mudah diperoleh.
Pun begitu, minat belajar perlu dibudayakan di rumah dan hanya diperkukuh di sekolah. Anak-anak di sekolah belajar dalam satu kumpulan secara beramai-ramai. Kebolehan setiap anak menerima ilmu yang disampaikan di sekolah berbeza. Maka, penting untuk anak-anak diberikan asas pengetahuan dan set keupayaan mengikut tahap yang baik sebelum memulakan pembelajaran di sekolah.
Dalam masa sama, anak-anak perlu dibantu untuk terus mengulang kaji apa yang dipelajari di sekolah ketika mereka berada di rumah. Ini penting agar mereka sentiasa bermotivasi serta mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu yang dipelajari.
Dalam proses pembelajaran, membaca menjadi salah satu elemen yang sangat penting. Oleh itu, ibu bapa harus membiasakan anak-anak dengan tabiat membaca sejak kecil. Menyediakan bahan bacaan yang berkualiti seperti buku ilmiah, novel pendidikan dan majalah akademik dapat membantu meningkatkan daya pemikiran kritis dan kreativiti pelajar.
Tidak dinafikan, kini, ibu bapa banyak membaca di media digital. Maka, libatkan anak-anak ketika membaca. Kongsikan apa yang sedang dibaca dan sekali-sekala tanyakan pendapat mereka tentang topik yang sesuai dengan tahap pendidikan mereka. Aktiviti ini bukan sahaja membudayakan aktiviti membaca, tetapi juga dapat memupuk keupayaan berfikir dan memberikan pendapat yang bernas dalam kalangan mereka.
Pembahagian masa yang baik antara pelajaran dan aktiviti rekreasi penting bagi memastikan keseimbangan mental dan fizikal pelajar. Ibu bapa boleh membantu anak-anak menyusun jadual belajar yang fleksibel tetapi berstruktur, memastikan mereka mempunyai masa yang cukup untuk mengulang kaji, berehat dan melakukan aktiviti lain seperti bersukan dan bersosial.
Sokongan ibu bapa adalah elemen penting dalam membentuk motivasi dan keyakinan anak- anak. Memberikan dorongan secara berterusan dan membantu dalam menyelesaikan tugasan sekolah serta memberi pujian atas usaha mereka dapat meningkatkan keyakinan diri anak- anak.
Selain itu, ibu bapa yang menunjukkan sikap positif terhadap pembelajaran dan pendidikan akan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak.
Ibu bapa yang terlibat secara aktif dalam pembelajaran dapat memupuk rasa selamat dan yakin dalam diri anak-anak. Apabila ibu bapa mengambil berat tentang perkembangan akademik anak-anak, mereka akan lebih berasa dihargai dan terdorong untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Selain itu, interaksi yang kerap antara ibu bapa dan anak-anak mengenai pelajaran boleh meningkatkan kefahaman serta minat mereka terhadap subjek yang dipelajari. Ini bukan sahaja membantu dalam pencapaian akademik, tetapi juga membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih mesra dan erat.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. EZRIN HANI SUKADARIN dan DR. JUNAIDAH ZAKARIA
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA)









