RAMADAN bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga masa terbaik untuk menyucikan hati dan memperbaiki diri. Dalam Islam, penyucian hati atau tazkiyatun nafs adalah proses penting bagi seorang Muslim untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Para ulama muktabar seperti Imam al-Ghazali, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan Imam al-Shafi’ei memberikan panduan bagaimana penyucian hati dapat dicapai, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.
Bulan ini memberikan peluang terbaik untuk membersihkan jiwa, meningkatkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah. Ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, doa dan zikir menjadi alat utama dalam penyucian hati. Dengan memperbanyakkan amalan ini, seorang Muslim dapat merasakan ketenangan batin dan membentuk hubungan yang lebih erat dengan Allah.
Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din, ibadah yang dilakukan dengan ikhlas adalah kunci kepada penyucian hati. Ramadan memberi peluang kepada seorang Muslim untuk meningkatkan amal ibadahnya melalui solat, bacaan al-Quran dan doa.
Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga melatih seseorang untuk mengawal kemarahan dan hawa nafsu. Ibn Qayyim dalam Madarij al-Salikin menyatakan nafsu yang tidak dikawal boleh menyebabkan hati menjadi gelap. Oleh itu, seseorang yang berpuasa perlu menjaga lidahnya daripada berkata perkara sia-sia dan menghindari perbuatan yang mengurangkan keberkatan puasanya.
Ramadan mengajar kita untuk melakukan ibadah hanya kerana Allah dan bukan untuk mendapat pujian manusia. Sementara menurut Imam al-Suyuti, zikir adalah antara cara paling berkesan untuk menyucikan hati kerana ia menghubungkan hati secara langsung dengan Allah. Allah berfirman: “Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d, ayat 28)
Menurut Imam al-Shafi’i, sedekah pula bukan sahaja membersihkan harta, tetapi juga membersihkan hati daripada sifat kedekut dan tamak. Ramadan adalah bulan untuk memperbanyakkan sedekah kerana pahalanya berlipat ganda.
Ramadan adalah masa terbaik untuk memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan masyarakat. Menjaga silaturahim dan memaafkan kesalahan orang lain juga adalah sebahagian daripada proses penyucian hati. Islam menekankan kepentingan menjaga hubungan baik sesama manusia. Ramadan memberikan kesempatan untuk melakukannya dengan lebih baik.
Ramadan adalah bulan untuk memperbaharui jiwa, membuang segala kotoran hati dan kembali kepada Allah dengan hati yang suci. Selain itu, penyucian hati membantu seseorang membentuk akhlak yang lebih mulia. Ramadan melatih kesabaran, keikhlasan dan sifat rendah hati, sekali gus membantu meninggalkan sifat mazmumah seperti sombong, riyak dan dengki.
Puasa juga mendidik hati untuk mengawal nafsu dan emosi. Dengan menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang sia-sia, seseorang akan lebih memahami kesabaran serta menjadi lebih pemurah dan penyayang terhadap sesama manusia.
Proses penyucian hati dalam bulan Ramadan membantu seorang Muslim menjadi insan yang lebih baik. Muhasabah diri dan taubat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan membawa kepada perubahan positif dalam kehidupan. Hati yang suci menghasilkan ketenangan jiwa, pemikiran jernih dan kebahagian dalam kehidupan.
Secara keseluruhannya, penyucian hati bukan sahaja membawa seseorang kepada ketakwaan, tetapi juga membentuk peribadi yang lebih luhur dalam hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Ramadan adalah peluang keemasan untuk memperbaharui jiwa dan kembali kepada fitrah yang suci.-UTUSAN
DR. NOR HAZRUL MOHD. SALLEH
Pengetua Kolej Kediaman UMEC Bachok, Pusat Pendidikan Universiti Malaya









