Remaja perlu menguasai seni kepimpinan untuk masa hadapan

Remaja perlu menguasai seni kepimpinan untuk masa hadapan

MENJADI ketua kumpulan dalam aktiviti kokurikulum membolehkan remaja yang menimba pengalaman dalam mengarahkan pasukan, membuat keputusan yang bijak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin mencabar, kemampuan untuk memimpin dan berfikir secara strategik merupakan aset penting bagi generasi muda.

Remaja hari ini perlu diasah untuk menjadi pemimpin masa hadapan, bukan sekadar pelajar yang hanya mengikut arus tanpa hala tuju. Oleh itu, penglibatan dalam aktiviti kepimpinan di peringkat sekolah merupakan peluang terbaik untuk mengembangkan potensi sebenar.

Kepimpinan bukan sekadar memiliki jawatan, tetapi berkaitan dengan daya pemikiran kritis, kemahiran komunikasi serta keberanian membuat keputusan. Seseorang pemimpin yang baik bukan sahaja tahu bagaimana untuk menguruskan pasukan, tetapi juga mampu menginspirasi dan membimbing orang lain. Remaja yang dilatih dengan kemahiran kepimpinan sejak awal akan lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar, baik dalam akademik mahupun kerjaya kelak.

Sekolah menyediakan pelbagai platform bagi remaja untuk mengasah kemahiran kepimpinan. Antara peluang terbaik seperti menjadi pengawas yang bertanggungjawab menegakkan disiplin dan berfungsi sebagai model teladan kepada pelajar lain. Memegang jawatan ini mengajar mereka tentang akauntabiliti, ketegasan dan diplomasi dalam mengendalikan pelbagai situasi.

Begitu juga apabila menjadi ketua kumpulan dalam aktiviti kokurikulum sama ada dalam sukan, kelab akademik atau persatuan membolehkan remaja yang diberi peluang ini belajar bagaimana untuk mengarahkan pasukan, membuat keputusan yang bijak serta menangani cabaran secara kolektif.

Sementara mengambil bahagian dalam pidato dan debat merupakan peluang terbaik mengasah kemahiran komunikasi yang merupakan elemen penting dalam kepimpinan. Pelajar yang sering berpidato atau menyertai debat bukan sahaja lebih yakin dalam menyuarakan pandangan, tetapi juga berlatih untuk berfikir secara logik dan menyusun hujah dengan baik.

Kerana itu potensi setiap remaja perlu digilap, bukan dibiarkan tersembunyi. Ibu bapa dan guru perlu lebih proaktif dalam mendorong mereka untuk mencuba pengalaman kepimpinan, walaupun pada awalnya mereka mungkin berasa ragu-ragu.

Kajian menunjukkan remaja yang aktif dalam kepimpinan lebih berdaya saing, berkebolehan membuat keputusan matang dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Selain itu, latihan kepimpinan bukan sekadar membentuk pemimpin dalam organisasi, tetapi juga membantu remaja dalam kehidupan harian. Mereka akan lebih cekap dalam mengurus masa, berkomunikasi secara berkesan dan bertindak dalam situasi yang menekan.

Masyarakat harus memainkan peranan dalam memupuk budaya kepimpinan dalam kalangan remaja. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya mengikut arahan tanpa daya fikir sendiri. Sebaliknya, mahu melihat remaja kita berani tampil ke hadapan, mampu berfikir dengan kritis, dan memiliki visi yang jelas untuk masa hadapan.-UTUSAN

DR. NOR ASIKHIN ISHAK
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN