RAKYAT kini berdepan dengan beban kewangan yang semakin berat apabila premium insurans perubatan terus meningkat, namun akses kepada rawatan semakin terhad.
Walaupun syarikat insurans mendakwa kenaikan ini berpunca daripada peningkatan kos perubatan namun, laporan kewangan menunjukkan mereka mencatatkan keuntungan besar.
Beberapa syarikat insurans utama di Malaysia melaporkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih mereka. Great Eastern mencatatkan lonjakan 28 peratus dalam keuntungan tahunan, mencecah hampir RM4.7 bilion sementara Allianz Malaysia pula merekodkan peningkatan keuntungan sebanyak 19.1 peratus pada suku terakhir 2024, manakala AIA melaporkan kenaikan keuntungan sebanyak 47.2 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.
Peningkatan dalam portfolio pelaburan mereka menunjukkan beban kewangan yang sepatutnya ditanggung industri insurans kini diletakkan di bahu pemegang polisi.
Lebih membimbangkan, pengurangan akses ke hospital panel semakin menjadi trend. Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memberi amaran beberapa hospital swasta mungkin dikeluarkan daripada senarai panel insurans berikutan tekanan daripada syarikat insurans untuk mengurangkan kos secara drastik. Langkah ini boleh membawa kesan serius kepada pesakit, termasuk pilihan hospital yang semakin terhad, peningkatan kes ‘bayar dahulu, tuntut kemudian’ yang berisiko ditolak serta kelewatan dalam menerima rawatan perubatan, khususnya bagi kes yang memerlukan rawatan pakar.
Tidak wajar membandingkan dengan kos hospital kerajaan kerana hospital swasta perlu melabur dalam peningkatan teknologi perubatan, menarik tenaga pakar serta menaik taraf kemudahan bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti. Namun, tidak berlaku demikian kerana mereka lebih cenderung untuk mengurangkan manfaat polisi dengan mengehadkan pilihan rawatan, mengutamakan ubat generik serta menghadkan akses kepada hospital tertentu bagi memaksimumkan keuntungan.
Badan pengawal selia perlu mewujudkan dasar yang lebih ketat bagi mengelakkan pemegang polisi terus terbeban dengan kenaikan kos tanpa manfaat yang setimpal.
Sistem kesihatan bergantung kepada keseimbangan antara sektor awam dan swasta. Namun, jika trend kenaikan premium berterusan tanpa kawalan dan akses kepada rawatan semakin terhad, ia boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem insurans perubatan di negaraa ini.-UTUSAN
RAKYAT PRIHATIN
Kuala Lumpur









