PIHAK kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memantau ketat perbelanjaan setiap jabatan, agensi termasuk sekolah awam serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sepanjang Ramadan dan sambutan hari raya nanti.
Ini bagi mengelakkan mana–mana pihak melakukan perbelanjaan secara berlebih–lebihan sehingga membawa pembaziran sekali gus mengundang persepsi negatif daripada orang ramai.
Ini kerana dibimbangi pembaziran berlaku di peringkat jabatan kerajaan melalui penyediaan bahan hiasan Ramadan dan hari raya di pejabat secara berlebihan, penganjuran majlis berbuka puasa secara besar–besaran, perancangan majlis sambutan hari raya secara mewah ataupun penganjuran sebarang program dan aktiviti yang berkaitan secara berlebihan berlaku.
Sungguh ironi sekali, apabila dikatakan Ramadan sebagai bulan mengekang hawa nafsu dan runtunan selera, tetapi di bulan inilah pembaziran serta sikap berlebih–lebihan menjadi kebiasaan untuk sesetengah pihak.
Sepatutnya Ramadan mendidik manusia supaya bersikap sederhana, jimat cermat dan tidak melampaui batas tetapi sebaliknya berlaku dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Sesetengah pihak akan berbelanja besar untuk aneka juadah hidangan dan persiapan menyambut raya.
Setiap jabatan dan agensi kerajaan harus mengambil serius terhadap perkara ini kerana mereka mengunakan wang rakyat untuk menjalankan operasi mereka. Duit rakyat harus dijaga dengan baik pada setiap masa. Tidak boleh ada sebarang kecuaian dan pembaziran dalam membelanjakan setiap sen duit rakyat.
Perlu diingatkan, pada 2023 lalu, bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali juga menyaran dan meminta semua jabatan kerajaan untuk mengamalkan proses berjimat cermat.
JPA perlu memantau segala saranan dan arahan yang dikeluarkan ini bagi memastikan wang rakyat tidak dibazirkan untuk melaksanakan sebarang program atau aktiviti yang tidak membawa sebarang faedah.
Wang rakyat tidak seharusnya dibelanjakan dengan sewenang–wenangnya. Perancangan teliti harus dilakukan setiap jabatan dan agensi kerajaan sebelum menggunakan wang peruntukan yang bakal diberikan kepada mereka. Setiap jabatan dan agensi kerajaan harus memastikan segala perancangan program serta aktiviti yang ingin dilakukan pada tahun hadapan kelak benar–benar membawa faedah pada rakyat juga negara.
Sebarang program dan aktiviti yang tidak membawa faedah pada rakyat dan negara harus dielakkan sepenuhnya kerana mereka berurusan dengan wang rakyat. Wang rakyat perlu digunakan untuk program dan aktiviti yang membawa faedah pada rakyat dan negara.
Setiap jabatan dan agensi kerajaan harus ketahui bahawa keadaan ekonomi semasa dunia tidak menentu pada masa kini akibat daripada ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan China yang juga merupakan kuasa besar ekonomi dunia.
Ia ditambah lagi dengan konflik peperangan yang sedang berlaku di antara Russia dan Ukraine serta Palestin dan Israel turut memberi kesan terhadap keadaan ekonomi global mahupun negara kita.
Oleh itu, adalah penting supaya setiap jabatan dan agensi kerajaan berbelanja wang peruntukan yang diberikan dengan penuh bijak dan berhati–hati. -UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)









