PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan inisiatif oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mengenakan kenaikan 50 peratus ke atas caj parkir kereta dan merancang untuk mengenakan had masa parkir di jalan-jalan tertentu memandangkan kesesakan di negeri itu.
Langkah-langkah tepat kearah menangani kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat dan akan menggalakkan pengurusan tempat letak kereta yang lebih baik.
CAP juga telah mengenal pasti beberapa tempat letak kereta awam di mana tong besar, kerusi plastik, pasu bunga atau barangan lain diletakkan dan menghalang ruang tempat letak kereta.
Selain itu, kenderaan yang menceroboh kawasan kaki lima dan perhentian bas juga memburukkan lagi masalah kesesakan yang sudah berleluasa di Pulau Pinang.
CAP juga menggesa MBPP supaya mengambil langkah segera untuk menambah baik dan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam.
Peningkatan penggunaan kereta persendirian merupakan penyumbang utama kepada kesesakan jalan raya dan tanpa sistem pengangkutan awam yang boleh diharap dan cekap, isu kesesakan lalu lintas akan berterusan.
Kita perlu mengutamakan penambahbaikan dalam infrastruktur pengangkutan awam dan memastikan ia mudah, berpatutan dan bersambung dengan baik untuk menggalakkan peralihan daripada pergantungan kepada kereta persendirian.
Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga menyumbang kepada Pulau Pinang yang lebih bersih dan hijau. –UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)









