Menerajui sektor tenaga, mendukung ekonomi negara

Menerajui sektor tenaga, mendukung ekonomi negara

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan negara secara menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA kita bercakap tentang ekonomi negara, ramai yang terfikir tentang dasar kerajaan, pelaburan asing atau industri besar. Tetapi tidak ramai yang sedar bahawa syarikat tempatan juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi negara dan secara tidak langsung, membantu rakyat.

Salah satu sebab ekonomi kita kekal kukuh adalah kerana pelaburan strategik oleh institusi seperti Khazanah Nasional (Khazanah). Tahun lalu, Khazanah diiktiraf sebagai antara dana kekayaan berdaulat paling berjaya dengan kenaikan dalam pulangan tahunan sebanyak 24.6 peratus. Sebahagian besar kejayaan ni datang daripada pelaburan dalam syarikat yang kukuh seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebagai syarikat tenaga terbesar negara, TNB bukan sekadar memastikan bekalan elektrik kita stabil, tetapi juga menyumbang kepada keuntungan pelabur institusi seperti Khazanah, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, TNB telah membayar dividen sebanyak RM18.21 bilion kepada pemegang sahamnya. Dividen ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia yang bergantung kepada dana-dana ini untuk simpanan dan pelaburan masa hadapan.

Selain dividen, TNB juga banyak membantu kestabilan ekonomi negara. Sebagai syarikat gergasi, ia bukan sahaja mengurus sektor tenaga, tetapi juga menjadi penyumbang utama dalam pelaburan yang memacu pertumbuhan sektor lain.

Dengan keuntungan yang diperoleh, Khazanah dapat menubuhkan syarikat seperti Jelawang Capital serta memperkasakan inisiatif Dana Impak yang bertujuan meningkatkan potensi ekonomi Malaysia.

Malah, ketika pandemik melanda, Khazanah terpaksa melepaskan sebahagian pegangannya dalam TNB untuk membantu kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi. Ini membuktikan bagaimana aset kukuh seperti TNB boleh menjadi benteng negara ketika berhadapan dengan situasi ekonomi yang amat mencabar.

Pelaburan dalam syarikat stabil seperti TNB merupakan kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan. Kejayaan Khazanah dengan pulangan 24.6 peratus tahun lalu memang tidak boleh dipisahkan daripada dividen konsisten yang diberikan oleh TNB. Untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang, kita perlu memastikan syarikat-syarikat teras seperti TNB kekal kukuh dan berjaya.

Setiap pelaburan pasti ada risiko, tetapi TNB telah membuktikan kemampuannya menjadi penyumbang utama kepada dana kekayaan negara.

Bukan itu saja, TNB juga giat melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, selari dengan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran tenaga hijau dan mengurangkan jejak karbon negara.

Dengan pelbagai inisiatif seperti ladang solar, projek hidroelektrik dan penyelidikan tenaga baharu, TNB bukan sahaja memastikan kelangsungan tenaga untuk masa hadapan, tetapi juga menjadi pemain utama dalam peralihan tenaga yang lebih lestari.
Ini membuktikan selain memberikan pulangan kepada pelabur, TNB juga memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan negara secara menyeluruh.

Sebagai rakyat Malaysia, inilah yang kita inginkan. Kita patut menghargai peranan syarikat tempatan dalam memacu ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kejayaan syarikat seperti TNB bukan hanya memberi manfaat kepada pelabur institusi, tetapi juga kepada kita semua melalui pembayaran dividen. Semoga kejayaan ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada syarikat lain untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara.-UTUSAN

LOGAN M.R
Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN