ORANG Melayu bukan sahaja berada di Malaysia tetapi turut mendiami beberapa wilayah lain seperti Cambodia, Vietnam, Myanmar, Selatan Thailand (Narathiwat, Yala dan Pattani), Riau di Indonesia, serta Moro di Filipina. Mereka bergelut untuk mempertahankan identiti Melayu, bahasa dan agama Islam. Ada yang berjuang dengan senjata, sementara yang lain menggunakan platform politik demi kelangsungan bahasa dan budaya mereka.
Sejarah mencatatkan Melayu Champa pernah memiliki sebuah kerajaan yang bertahan dari 192 masihi hingga 1832. Namun, hari ini, keturunan Melayu Champa terpaksa berjuang demi mengekalkan warisan di tanah yang kini bukan lagi milik mereka.
Begitu juga dengan masyarakat Melayu di Selatan Thailand yang suatu ketika dahulu berada di bawah naungan Kesultanan Melayu. Sejak kejatuhan Kerajaan Patani pada 1902, mereka menjadi bangsa yang sentiasa bergelut untuk mempertahankan maruah, bahasa dan agama.
Di Riau, keadaan mungkin tidak seteruk masyarakat Melayu yang berada di negara bukan Islam kerana wilayah itu berada dalam pentadbiran Indonesia, sebuah negara majoriti Islam. Namun, perjuangan untuk mengekalkan identiti dan bahasa Melayu tetap menjadi satu cabaran besar.
Di serata rantau ini, Melayu sering menjadi bangsa yang berjuang untuk mempertahankan hak dan jati diri mereka. Mereka memandang negara ini sebagai rujukan dan kebanggaan kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang dimiliki dan ditadbir oleh orang Melayu, secara tidak langsung mengangkat martabat Islam di mata dunia.
Namun, mutakhir ini, timbul persoalan, adakah sejarah Melayu akan berakhir di Malaysia seperti mana berakhirnya Kesultanan Patani pada 1902 atau Kerajaan Champa pada 1832? Adakah nasib Melayu Malaysia akan menjadi seperti bangsa Kurdi, Tibet dan Hawaii, bangsa yang kehilangan negara sendiri dan kedaulatan?
Melayu di Malaysia perlu menyedari cabaran ini. Sejarah membuktikan kejatuhan sesuatu bangsa sering berpunca daripada pengkhianatan dari dalam. Oleh itu, pemimpin Melayu harus lebih peka dan bertanggungjawab dalam mempertahankan hak dan kedudukan bangsa.
Malaysia sebagai sebuah negara memerlukan keharmonian semua kaum untuk terus maju dan berjaya. Namun, identiti negara ini tetap berakar pada jati diri Melayu dan Islam sebagai teras utama.
Tiada istilah negara berbilang kaum yang menghapuskan kedudukan Melayu, begitu juga dengan konsep kerajaan perpaduan yang menidakkan asas negara ini. Malaysia ialah tanah Melayu, ditadbir oleh orang Melayu, dan di dalamnya hidup rakyat dari pelbagai latar belakang dalam perpaduan yang utuh dan harmoni.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu









