MISI Sukarelawan Global (GVM) to Bali, Indonesia yang berlangsung pada 24 Februari sehingga 1 Mac 2025 telah berjaya memberi impak positif kepada masyarakat setempat di Bali. Program yang dianjurkan oleh Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, dengan kerjasama institusi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Antara aktiviti yang dijalankan di bawah projek ini ialah SDGs Forum: Empowering University Students for a Sustainable Future bersama Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM), Institut Sains dan Teknologi Nahdlatul Ulama Bali (ISTNUBA). Di Panti Asuhan Yayasan Al Hikmah, sukarelawan melaksanakan program penjagaan diri dan kesihatan, aktiviti kitar semula dan agihan sumbangan. Di SMA Negeri 2 Denpasar, peserta memberi pendedahan kepada remaja mengenai kesihatan mental, pendidikan seksual serta perkembangan diri remaja.
Mahasiswa turut bekerjasama dengan Pusat Perlindungan Lingkungan Hidup Bali (PPLH) dengan melaksanakan aktiviti seperti penanaman pokok dan pembinaan saluran resapan biopori di kawasan komuniti setempat.
Program ini bukan sekadar aktiviti sukarelawan, tetapi juga medan pembelajaran holistik bagi mahasiswa UiTM. Selain membina kepimpinan dan empati, peserta lebih peka terhadap isu-isu global. Bagi komuniti tempatan, kehadiran sukarelawan Malaysia membawa manfaat besar, khususnya dalam pendidikan dan kebajikan sosial.
Kejayaan pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen besar mahasiswa dalam mendukung agenda pembangunan sejagat serta menggalakkan penyertaan belia dalam usaha merealisasikan SDG. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai satu inisiatif penting dalam memperkasakan komuniti dan memupuk kesedaran sosial yang lebih luas. – UTUSAN
MOHAMAD AIMAN HAKIM
MOHAMAD NIZAM
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban










