Lindungi OKU secara inklusif

Lindungi OKU secara inklusif

DISKRIMINASI terhadap orang kurang upaya (OKU) masih wujud dalam pelbagai bentuk walaupun masyarakat semakin peka mengenai pentingnya inklusiviti,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik kekuatan dan potensi luar biasa yang dimiliki oleh golongan orang kurang upaya (OKU), mereka masih menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian. Meskipun dunia semakin maju, acap kali kita terlupa bahawa OKU memerlukan lebih daripada sekadar simpati dan belas kasihan, mereka berhak menikmati peluang yang sama dalam aspek sosial, pendidikan dan pekerjaan.

Golongan OKU sering berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk isu aksesibiliti, ketidaksetaraan dalam peluang pekerjaan serta kekangan dalam pendidikan. Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan dalam aspek sosial, kebajikan, pendidikan dan kewangan agar OKU dapat menikmati hak-hak yang sama seperti orang biasa.

Di Malaysia, cabaran terbesarnya adalah stigma sosial. Walaupun masyarakat semakin peka mengenai pentingnya inklusiviti, diskriminasi terhadap OKU masih wujud dalam pelbagai bentuk. Banyak tempat awam dan kemudahan masih kurang mesra OKU, halangan dalam mengakses peluang pendidikan, pekerjaan dan kehidupan sosial.

Langkah-langkah untuk mengurangkan stigma sosial terhadap OKU perlu melibatkan pendekatan yang lebih menyeluruh. Pertama, perlu ada pendidikan atau kempen kesedaran yang lebih meluas tentang hak-hak OKU serta tentang potensi dan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada masyarakat.

Salah satu langkah penting yang perlu dilaksanakan adalah pendidikan inklusif di sekolah, yang mana pelajar OKU diberikan sokongan penuh dalam suasana yang sama dengan pelajar lain. Ini akan membantu mengurangkan stigma dari peringkat awal lagi, serta memberi peluang kepada golongan OKU untuk berkembang dalam persekitaran yang lebih inklusif.

Selain itu, perlu ada penambahbaikan dalam polisi inklusif yang melibatkan penyediaan kemudahan mesra OKU di semua tempat awam dan kemudahan pengangkutan. Sebagai contoh, aksesibiliti bangunan yang tidak memenuhi piawaian untuk OKU menggunakan kerusi roda atau kurangnya pengangkutan awam yang sesuai bagi golongan ini. Hal ini menimbulkan kesukaran kepada OKU untuk menjalani kehidupan yang lebih bebas dan berdikari.

Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menyediakan ruang yang lebih besar bagi OKU agar terlibat dalam aktiviti sosial dan profesional, supaya mereka tidak hanya dilihat sebagai penerima bantuan, tetapi juga sebagai individu yang memiliki potensi besar untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Berbanding dengan negara-negara maju seperti Norway, Sweden dan Australia, Malaysia masih perlu ke hadapan dan setanding dalam beberapa aspek perlindungan kepada OKU.-UTUSAN

DR. SITI AISYAH SAMUDIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN