Kerja selepas waktu bukan contoh pekerja produktif

Kerja selepas waktu bukan contoh pekerja produktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMANG tidak disangkal lagi, masa adalah sesuatu harta sangat berharga, yang mana kehilangannya tidak boleh ditukar ganti.

Ibrah kehidupan seharian menyaksikan bagaimana sesetengah masyarakat amat berharap agar masa yang berlalu pergi dapat diputar kembali.

Begitulah berharganya masa sehingga masyarakat Melayu pada zaman dahulu memahatnya ke dalam peribahasa ‘masa itu emas’. Kendatipun masa yang berlalu tidak dapat diundur kembali, namun ibrahnya menuntut keinsafan dalam kalangan diri individu agar memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada.

Dalam konteks pekerjaan pula, masa yang diperuntukkan untuk bekerja iaitu lebih kurang lapan jam sehari perlu digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan tugas-tugas yang dirancang. Realiti menunjukkan bekerja dalam persekitaran masa kini memang banyak cabaran berbanding masa dahulu. Kadangkala kerja datang bertimpa-timpa, seolah-olah tiada penghujung dek mudahnya berkomunikasi di mana-mana ruang pelosok dunia melalui pelbagai media sosial.

Ini juga memungkinkan seseorang pekerja tidak sempat untuk menyiapkan tugasan sedia ada dalam masa yang ditetapkan. Justeru, masa bekerja akan bertambah dan lebih panjang daripada biasa.

Trend kerja terkini dan masa hadapan yang beralih kepada ekonomi perkhidmatan, teknologi digital serta perkembangan drastik dalam penggunaan gajet atau komputer menyebabkan masa bekerja menjadi semakin panjang. Pekerja kini boleh menyambung kerja di rumah bagi mana-mana tugas yang tidak sempat diselesaikan ketika di pejabat.

Tempoh masa bekerja merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam setiap pekerjaan dan kehidupan. Tempoh masa bekerja yang terlalu lama boleh memudaratkan kesihatan pekerja secara langsung atau tidak langsung.

Penemuan kajian menunjukkan bekerja secara berterusan dalam tempoh masa yang panjang tanpa rehat menyebabkan kelesuan atau keletihan melampau. Kelesuan ini menambah ketegangan dan menyebabkan masalah stres pekerjaan menjadi semakin kronik.

Bagi pekerja, tugas yang selesai lebih cepat menunjukkan dia amat produktif. Organisasi pula tentunya berasa bangga kerana pekerja bertungkus lumus menyelesaikan tugas walaupun di luar masa bekerja. Persoalannya, benarkah masa bekerja itu tidak memadai untuk seseorang menyelesaikan tugasnya atau berlaku gangguan ketika masa bekerja?

Realitinya, tempoh masa bekerja yang panjang tidak semestinya menunjukkan seseorang pekerja itu produktif. Kedapatan pekerja yang bekerja dalam tempoh ditetapkan masih mampu mengekalkan kecemerlangan dan produktiviti. Ia mungkin disebabkan oleh pengurusan masa yang baik dan perancangan tugas yang tuntas.

Pengurusan masa dan diikuti dengan perancangan tuntas berupaya mengoptimumkan masa sebaik mungkin. Justeru, pekerja sebegini berupaya menyeimbangkan kehidupan peribadi dan kehidupan berkerjaya.

Individu yang bijak mengurus masa sama ada dalam kerjaya atau kehidupan adalah mereka yang selalu berasa tenang dan menghargai kehidupan.

Berlumba-lumbalah memanfaatkan setiap detik masa yang ada kerana harga masa itu sememangnya tiada nilai tara.

Walau bagaimanapun, nilai ‘masa’ itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang tahu menghargainya. Hargailah masa selagi ia hadir di depan mata. Janganlah pula nanti masa yang dipersalahkan disebabkan kealpaan manusia.-UTUSAN

PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN