Kecerdasan emosi yang tinggi membentuk pempengaruh

Kecerdasan emosi yang tinggi membentuk pempengaruh

BELIA mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan media sosial digunakan untuk kebaikan dan bukan untuk memecahbelahkan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMPENGARUH media sosial bukan sekadar figura hiburan, bahkan menjadi agen perubahan sosial dan budaya. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk pendapat awam, mempengaruhi gaya hidup dan juga memberi impak kepada keputusan pembelian pengguna.

Kini, peranan pempengaruh media sosial semakin menonjol dan memberi impak besar kepada masyarakat.

Fenomena ini berkembang pesat seiring dengan peningkatan penggunaan media sosial di negara kita.

Menurut Laporan Digital Global Overview 2023, seramai 26.8 juta pengguna atau 78.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia menggunakan media sosial. Keadaan ini menunjukkan betapa luasnya pengaruh platform digital dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Dalam sektor pelancongan pula, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggunakan khidmat pempengaruh untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Ini menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap keberkesanan pempengaruh dalam menarik minat generasi muda dan pelancong antarabangsa.

Walau bagaimanapun, fenomena ini juga membawa cabaran tersendiri. Terdapat kebimbangan mengenai kredibiliti sesetengah pempengaruh dan kesan negatif yang mungkin timbul akibat pengaruh mereka yang meluas. Oleh itu, untuk menangani isu ini, kecerdasan emosi (EQ) memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk pempengaruh yang berintegriti dan berkualiti tinggi.

Pempengaruh media sosial tidak boleh sewenang-wenangnya bermain dengan sentimen ‘mangsa’ apabila berhadapan kritikan atau kontroversi yang timbul akibat tindakan mereka sendiri. Mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap video, gambar atau kenyataan yang dikongsikan di platform digital. Hal ini termasuk kesediaan untuk mengakui kesilapan, memohon maaf secara tulus dan mengambil langkah pembetulan apabila perlu.

Pempengaruh media sosial perlu meningkatkan tahap profesionalisme mereka. Keadaan ini termasuk melakukan penyelidikan yang teliti sebelum berkongsi maklumat, berhati-hati dengan kandungan yang dihasilkan dan sentiasa peka terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Mereka juga perlu bersedia untuk menghadapi kritikan membina dan menggunakannya sebagai peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri.

Fenomena takut ketinggalan (Fear of Missing Out, FOMO) yang semakin berleluasa boleh mendorong pempengaruh untuk menghasilkan kandungan yang sensasi tanpa mengambil kira kesannya. Di sinilah pentingnya domain regulasi kendiri dalam kecerdasan emosi.

Walaupun kecerdasan emosi penting, ia bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan integriti seorang pempengaruh. Faktor-faktor lain seperti latar belakang, pendidikan dan nilai-nilai peribadi juga memainkan peranan. Namun, kecerdasan emosi boleh dianggap sebagai pemangkin yang membolehkan pempengaruh menggunakan semua faktor ini secara optimum untuk membina sikap yang positif dan berintegriti.

Kesimpulannya, peranan pempengaruh media sosial di Malaysia telah berkembang jauh melampaui sekadar hiburan, menjadi sebahagian penting dalam membentuk budaya, ekonomi dan bahkan politik negara.

Dalam dunia media sosial yang semakin kompleks ini, kecerdasan emosi yang tinggi menjadi aset yang tidak ternilai bagi pempengaruh yang ingin mengekalkan integriti. Ia membolehkan mereka membina hubungan yang tulen, menangani cabaran dengan bijak dan memberi impak positif kepada pengikut mereka.

Walau bagaimanapun, usaha berterusan untuk membangunkan dan mengasah kemahiran kecerdasan emosi adalah penting. Hanya dengan cara ini, kita dapat membentuk generasi pempengaruh yang bukan sahaja popular, tetapi juga berintegriti dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Pada masa sama, masyarakat perlu bijak dan kritis dalam menilai pengaruh mereka untuk memastikan impak positif kepada pembangunan negara. Dengan keseimbangan ini, pempengaruh media sosial boleh menjadi agen perubahan yang berkesan dan bertanggungjawab dalam landskap digital Malaysia yang semakin berkembang.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
dan Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN