KAMPUNG Kuala Mengkuang tidak popular seperti Batu Ferringhi, Teluk Bahang dan Bukit Bendera di Pulau Pinang. Namun siapa menduga projek yang pernah dibatalkan sebelum ini akhirnya mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dimajukan dan dinaik taraf menjadi sebuah Kampung Angkat Desa Madani.
Menariknya, sungai di Kuala Mengkuang menyimpan pelbagai keindahan yang dikelilingi flora dan fauna.
Istimewanya lagi terdapat sebuah lukisan mural kereta api yang diusahakan secara bersama oleh penduduk dan beberapa wakil agensi kerajaan. Lukisan itu disenaraikan dalam The Malaysia Book Of Records (MBR).
Sungai Kuala Mengkuang juga berpotensi untuk dikomersialkan sebagai hub pelancongan desa yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk berdekatan di samping dapat memberikan limpahan rezeki buat penduduk berhampiran.
Apabila kampung ini selesai dimajukan kelak, pastinya akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk berhampiran bahkan menjadi salah satu daya tarikan ekoelancongan baharu berkonsepkan pelancongan desa pertama di negeri ini.
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang









