DULU, menjelang Ramadan dan Syawal, ramai sibuk membeli dan menghantar kad raya. Di rumah, di sekolah dan di pejabat, ada satu tradisi yang sangat dinantikan iaitu menulis kad raya.
Kad yang cantik dengan pelbagai reka bentuk dan pantun indah akan bertukar tangan, dihantar kepada sahabat, saudara-mara dan guru-guru. Posmen pula akan sibuk mengedarkan kad-kad ini ke serata negeri. Namun kini, budaya itu semakin pudar. Hampir tiada lagi kedai yang menjual kad raya, apatah lagi anak-anak muda yang mengirimnya. Jika tanya generasi sekarang, ramai yang mungkin tidak pernah menulis atau menerima sekeping kad raya dalam hidup mereka.
Kehilangan budaya menghantar kad raya bukan sekadar tentang perubahan medium komunikasi. Ia mencerminkan perubahan besar dalam cara menjalin silaturrahim. Jika dahulu, setiap kad yang diterima membawa rasa gembira, kehangatan dan ingatan ikhlas daripada pengirimnya, kini ucapan raya hanya sekadar mesej di WhatsApp atau hantaran media sosial yang dihantar kepada ratusan orang serentak.
Hubungan yang dahulunya berteraskan keikhlasan dan usaha kini digantikan dengan sesuatu yang ringkas, cepat dan kurang bernilai sentimental. Ia menimbulkan persoalan, adakah hubungan kita dengan orang lain juga menjadi semakin longgar?
Kita sering mendengar dunia semakin maju, tetapi dalam hal ini, adakah kita sebenarnya semakin mundur? Teknologi yang sepatutnya mendekatkan manusia sering kali menjauhkan kita secara emosional.
Salah satu detik paling istimewa pada musim perayaan dahulu ialah menggantung kad-kad raya di dinding atau menyusunnya di atas meja ruang tamu. Ia menjadi bukti kasih sayang daripada sahabat dan saudara-mara.
Kemerosotan budaya kad raya boleh dikesan sejak awal 2000-an, apabila penggunaan telefon bimbit dan internet semakin meluas. Pada 2010-an, permintaan terhadap kad raya semakin merosot, memaksa banyak syarikat percetakan untuk menghentikan pengeluaran kad raya secara besar-besaran. Kini, hanya segelintir kecil yang masih menjual kad raya, itu pun dalam jumlah yang sangat terhad. Syarikat pos seperti Pos Malaysia juga mengurangkan pengeluaran setem dan perkhidmatan berkaitan kerana permintaan yang sangat rendah.
Kini, generasi muda lebih biasa dengan ucapan raya dalam bentuk emoji dan GIF. Mereka tidak lagi merasakan keperluan untuk menulis ucapan yang panjang dan penuh makna. Ini secara tidak langsung menghilangkan nilai ekspresi diri dan keikhlasan dalam menyampaikan perasaan.
Masih ada harapan untuk menghidupkan kembali budaya ini, tetapi ia memerlukan usaha dan kesedaran daripada semua pihak. Mungkin kita boleh menggalakkan anak-anak untuk menulis kad raya kepada datuk dan nenek atau kepada guru.
Sekolah juga boleh mengadakan program khas untuk memupuk semula amalan ini seperti pertandingan menulis atau pertukaran kad raya dalam kalangan pelajar. Syarikat juga boleh mengambil inisiatif untuk mencetak dan mengedarkan kad raya kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan, sekali gus mengembalikan budaya ini ke dalam masyarakat.
Hilangnya kad raya bukan sekadar kehilangan satu tradisi lama, tetapi juga satu tanda hubungan kita dengan orang lain semakin berubah.
Dalam keghairahan mengejar kemajuan teknologi, jangan sampai kehilangan nilai-nilai murni yang pernah menjadi tunjang dalam kehidupan masyarakat.
Kad raya mungkin hanya sekeping kertas, tetapi nilai yang terkandung di dalamnya jauh lebih besar daripada yang kita sangkakan. Jika ingin mengembalikan erti sebenar silaturrahim, mungkin sudah tiba masanya untuk kita mempertimbangkan semula, adakah mesej digital mencukupi atau kita perlu kembali kepada sesuatu yang lebih bermakna?-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan









