BULAN Ramadan membawa perubahan ketara dalam corak penggunaan jalan raya di Malaysia. Perubahan ini, jika tidak ditangani dengan bijak, boleh meningkatkan risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas.
Pada bulan Ramadan, waktu puncak lalu lintas beralih kepada tempoh menjelang waktu berbuka puasa, sekitar pukul 5 hingga 7.30 petang. Ramai pengguna jalan raya tergesa-gesa pulang ke rumah atau ke lokasi berbuka, menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan dalam tempoh yang singkat.
Keadaan ini menimbulkan tekanan kepada pemandu dan meningkatkan risiko kemalangan.
Pemanduan berbahaya menjadi lebih kerap pada waktu petang di bulan Ramadan.
Pemandu yang ingin cepat sampai ke destinasi sebelum waktu berbuka cenderung melanggar lampu isyarat, memotong secara berbahaya dan memandu melebihi had laju. Kelalaian manusia seperti ini dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia.
Keletihan dan dehidrasi akibat berpuasa turut mempengaruhi tumpuan pemandu. Kekurangan tenaga boleh menyebabkan rasa mengantuk dan mengurangkan keupayaan reaksi, meningkatkan risiko kemalangan.
Parkir haram di sekitar bazar Ramadan dan masjid juga menyumbang kepada masalah lalu lintas. Kenderaan yang diparkir secara tidak teratur menyempitkan jalan dan menghalang aliran trafik.
Selain itu, peniaga bazar yang menggunakan bahu jalan untuk berniaga memburukkan lagi kesesakan dan meningkatkan risiko kemalangan bagi pejalan kaki serta penunggang motosikal. Perkhidmatan penghantaran makanan mengalami peningkatan permintaan sepanjang Ramadan.
Penghantar makanan sering berlumba dengan masa untuk memenuhi pesanan sebelum waktu berbuka, mengakibatkan pemanduan yang tergesa-gesa dan berbahaya. Ini menambah risiko kemalangan, terutama di kawasan perumahan dan jalan sempit.
Stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya turut mengalami kesesakan luar biasa. Ramai pengguna lebuh raya berhenti serentak untuk berbuka puasa dan menunaikan solat, menyebabkan ruang parkir serta kemudahan awam menjadi sesak.
Keadaan ini memerlukan perancangan dan pengurusan yang lebih baik oleh pihak berkuasa untuk memastikan kelancaran pergerakan. Pihak berkuasa perlu memainkan peranan proaktif dalam mengawal lalu lintas sepanjang bulan Ramadan.
Penguatkuasaan undang-undang seperti sekatan jalan raya dan rondaan berkala boleh membantu mengurangkan kesalahan trafik. Selain itu, kempen kesedaran keselamatan jalan raya perlu diperhebatkan untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya mematuhi peraturan dan menjaga keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, peniaga dan pengguna jalan raya amat penting dalam menangani isu-isu ini. Dengan perancangan yang rapi, seperti penyediaan kawasan parkir yang mencukupi dan penempatan peniaga di lokasi yang sesuai, kesesakan dapat dikurangkan.
Pengguna jalan raya juga disarankan merancang perjalanan dengan baik, mengelakkan tergesa-gesa dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas. Bulan Ramadan seharusnya menjadi masa untuk meningkatkan kesabaran dan amalan baik.
Jangan biarkan kesesakan dan sikap tidak bertanggungjawab mencemarkan kemuliaan bulan yang penuh keberkatan ini. Dengan kerjasama dan kesedaran semua pihak, kita dapat memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua sepanjang Ramadan.-UTUSAN
DR. IRWAN IBRAHIM dan DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans),
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Kampus Puncak Alam, Selangor










